..."/>

Alumni di gesa terus memberi sumbangan kepada IPT

JOHOR BAHRU 18 Jan: Semua persatuan bekas penuntut atau alumni institusi pengajian tinggi (IPT) digesa terus memberi sumbangan, sekali gus membantu memperkasakan universiti masing-masing.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, kejayaan sesebuah universiti bukan hanya pada tahap kualiti penuntut sedia ada, malah turut bergantung kepada sumbangan besar daripada bekas penuntutnya.

Beliau berkata, pemindahan ilmu, idea dan pelbagai sumbangan kepada pihak universiti tidak seharusnya terhenti ketika penuntut menamatkan pengajian, sebaliknya perlu dibuat secara berterusan.

“Jika dilihat matlamat penubuhan sesebuah universiti, kita dapati IPT itu ditubuhkan untuk melahirkan modal insan, menggerakkan ekonomi terutama berasaskan inovasi dan hubungan dengan masyarakat.

“Untuk itu kita dapat lihat bahawa pembabitan alumni ini penting kerana secara tidak langsung akan dapat menaikkan reputasi universiti masing-masing,” katanya pada Majlis Minum Petang Persatuan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM) Johor di sini semalam.

Turut hadir Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman; Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Wahid Omar dan Presiden Persatuan Alumni USM Johor, Khairull Azmi Ishak.

Majlis yang diadakan di Dewan Bankuet UTM itu turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Ikatan Mahasiswa Johor (Ikmar) dan dihadiri lebih 300 alumni USM yang rata-ratanya warga Johor.

Terdahulu, kira-kira 60 ahli Ikmar dan 20 penuntut UTM bekerjasama menjayakan program gotong-royong di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pulai dan menganjurkan bengkel motivasi murid tahun enam sekolah berkenaan.

Sementara itu Omar berkata, Persatuan Alumni USM Johor yang ditubuhkan pada 2012 menjadi persatuan alumni pertama di negara ini yang menubuhkan sekretariat persatuan di sebuah universiti berbeza iaitu di UTM.

Menurutnya, penubuhan sekretariat itu membuktikan dua universiti di negara ini boleh menjalinkan kerjasama dalam memberi manfaat kepada masyarakat pada masa hadapan.

“Antara program yang diberikan perhatian oleh Persatuan Alumni USM Johor adalah Pusat Dalam Komuniti (PDK) yang akan dijalankan bagi mendekati orang kurang upaya dan beberapa program lain,” katanya.

Top