Akhlak Rasulullah sebagai contoh utama

LABIS, 7 Feb : Umat Islam perlu mencontohi sifat serta keperibadian junjungan mulia Rasulullah SAW dan perlu menyemai sifat tersebut dalam kalangan remaja bagi memastikan wujud generasi baharu yang dilahirkan dengan keperibadian mulia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim berkata, usaha mendekatkan golongan remaja dengan masjid serta majlis keagamaan harus dimulakan oleh ibu bapa di peringkat awal persekolahan supaya sebati dalam jiwa mereka yang bakal menjadi pemimpin satu hari nanti.

“Setiap minggu terdapat pelbagai aktiviti keilmuan dianjurkan kebanyakan masjid di kawasan ini dan ibu bapa harus menggunakan kesempatan dari penganjuran program seumpama bagi mendekatkan anak-anak mereka dengan masjid.

“Sementara itu pihak pengurusan masjid dan surau juga harus lebih kreatif dalam usaha menarik minat golongan remaja ke masjid dengan mengadakan program yang melibatkan mereka secara langsung agar mereka merasa diperlukan dan dihargai,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul di Ladang Eldred dekat sini hari ini.

Menurut Mohd. Azahar, dengan dunia yang lebih terbuka, remaja terdedah dengan pengaruh Barat yang bertentangan dengan nilai dan peradaban Timur di negara ini sekali gus menjadikan cabaran yang dihadapi ibu bapa dalam membentuk keperibadian anak-anak lebih besar.

Oleh yang demikian katanya, mencontohi serta berusaha menerapkan nilai mulia serta amalan Rasulullah SAW dalam gaya hidup remaja merupakan jalan terbaik untuk menangani gejala tidak sihat di kalangan mereka.

“Menjayakan usaha ini bukan semudah yang disangka dan pastinya kita bakal berdepan dengan pelbagai cabaran seperti perbezaan pandangan serta kehendak antara remaja hari ini dengan golongan yang lebih dewasa.

“Tetapi kita tidak punya pilihan selain berusaha melakukannya dengan sebaik mungkin,” kata beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20140208/wj_02/Akhlak-Rasulullah-contoh-terbaik-didik-anak#ixzz2st7LCq3w
© Utusan Melayu (M) Bhd

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top