..."/>

Agong Amat Dukacita Kerajaan Batal Ordinan Darurat Walhal Belum Diperkenan Baginda – Istana Negara

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Baginda.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka juga amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Seri Paduka turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada Isnin telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen.

Ahmad Fadil berkata Al Sultan Abdullah turut menegaskan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Seri Paduka menegaskan bahawa dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen bertunjangkan prinsip keluhuran perlembagaan, semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.

“Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka,” katanya.

Beliau berkata Seri Paduka sedia maklum Baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan namun menzahirkan pandangan bahawa selaku Ketua Utama Negara, Baginda mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak.

Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong menzahirkan penghargaan kepada kerajaan di atas pelaksanaan persidangan Parlimen yang bermula pada Isnin sejajar dengan saranan Raja-Raja Melayu dalam Perbincangan Khas yang diadakan pada 16 Jun lepas.

Beliau berkata Seri Paduka menegaskan supaya Ahli-Ahli Parlimen memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang dihadapi rakyat dan negara ketika krisis pandemik COVID-19 ini.

“Seri Paduka turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya. – BERNAMA

Top