..."/>

ADUN, AHLI PARLIMEN PERLU BERMESYUARAT

PETALING JAYA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersetuju untuk Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Johor bermesyuarat bagi membincangkan pelbagai isu dihadapi rakyat di negeri itu dan di seluruh negara.

Beliau berkata, pada 24 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk Parlimen bersidang pada satu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri walaupun dalam tempoh darurat.

Namun, katanya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak memberikan saranan dan nasihat berkaitan perkara tersebut jauh sekali mahu membenarkan Parlimen bersidang walaupun selepas tiga bulan titah Seri Paduka.

“Hari ini Sultan Johor pula menyeru ADUN dan Ahli Parlimen untuk bermesyuarat. Titah tersebut jelas menunjukkan bahawa wujud keperluan dan kepentingan yang mendesak untuk kerajaan kembali bersidang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini bahawa ahli Parlimen dan ADUN menggembleng tenaga memainkan peranan dalam berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19 yang semakin menular.

Titah baginda, Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu 2021 yang menghalang persidangan Parlimen dan DUN tidak sepatutnya menghalang wakil rakyat menggembleng tenaga untuk kebaikan masyarakat.

Untuk rekod, proklamasi darurat akan berakhir pada 1 Ogos ini.

Mengulas lanjut, Khaled berharap, perkara tersebut mendapat perhatian kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat di Johor di samping mengembalikan amalan demokrasi yang sihat, terbuka dan menyantuni Perlembagaan.

“Kerajaan yang berjalan tanpa instrumen semak dan imbang dalam forum seperti DUN dan Parlimen tidak akan mempunyai kebertanggungjawab yang terbaik. Malah, saranan serta suara rakyat kebanyakan tidak akan boleh diangkat sewajarnya.

“Inilah masa untuk kita mengetepikan kepentingan politik dan perbezaan. Marilah kita mengambil segenap ruang dan kesempatan untuk mencari jalan keluar terbaik dari kemelut pandemik dan kelembapan ekonomi yang semakin meruncing,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Top