..."/>

66 keluarga kurang berkemampuan di bantu

SEGAMAT 29 Jan : Seramai 66 orang dari keluarga kurang berkemampuan menerima bantuan sewa rumah dan perniagaan berjumlah RM95,280 yang diperuntukkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah semalam.

Bantuan tersebut telah disampaikan oleh Menteri Besar Johor, YAB. Dato’ Mohamed Khaled Nordin sempena lawatan kerja beliau ke daerah ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM89,280 adalah bagi bantuan sewa rumah (RM124 sebulan) selama 12 bulan melibatkan 60 penerima manakala RM1,000 merupakan bantuan kepada enam peniaga yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Salah seorang penerima, Salina Said, 37, surirumah dari Kampung Batu Badak yang gembira kerana terpilih menerima bantuan tersebut mengakui, usaha itu dapat meringankan bebannya yang perlu membayar sewa rumah sebanyak RM180 sebulan.

“Pendapatan hasil kebun suami saya tidak seberapa dan adakalanya tidak mencukupi untuk kami lebih-lebih lagi ketiga-tiga anak masih bersekolah dan setiap hari memerlukan wang untuk tambang serta duit belanja.

“Dengan wang bantuan ini, sekurang-kurangnya kami tidak perlu lagi memikirkan wang sewa rumah selama setahun dan peruntukan wang sewa rumah tersebut boleh dibelanja untuk kegunaan lain seperti perbelanjaan dapur dan sekolah anak-anak,” katanya selepas menerima bantuan itu di Dewan Serbaguna Segamat di sini.

Sementara itu, Mustaffa Makmur, 38, seorang peniaga warung makanan di Taman Seri Maju, Kampung Jawa pula menyifatkan bantuan itu sebagai rezeki tahun baharu dan akan menggunakannya untuk membeli peralatan diperlukan seperti kerusi dan meja.

“Terima kasih kerajaan atas bantuan ini. Saya juga gembira dapat bersua muka dan bersalaman bersama Menteri Besar Johor yang baharu,” katanya.

M. Thavamalar, 41, seorang pembantu rumah yang menyewa rumah di Taman Ros, Kampung Abdullah dengan kadar RM200 sebulan sejak 11 tahun lalu berkata, bantuan itu bukan sekadar meringankan beban kewangan keluarganya, malah gambaran keprihatinan kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah.

“Bantuan ini banyak membantu meringankan beban kami dan merupakan gambaran sebenar kesungguhan kerajaan sedia ada membantu golongan miskin tanpa mengira kaum,” katanya. (sumber utusan)

Top