..."/>

KUALA LUMPUR: Berbaki sembilan hari sebelum pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, borang persetujuan suntikan vaksin mula diedarkan kepada orang ramai.

Borang mengandungi beberapa set soalan dan keperluan untuk mengisi butiran peribadi penerima vaksin itu dimuat naik di laman web Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.

Secara perbandingan, empat soalan dalam borang berkenaan sama seperti kandungan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, berhubung langkah berjaga-jaga yang perlu dipertimbangkan segelintir individu.

Pertimbangan itu antara lain merangkumi sama ada penerima pernah mengalami sebarang kesan sampingan teruk seperti sawan, pengsan dan kemasukan ke hospital selepas mendapat mana-mana suntikan imunisasi sebelum ini.

Soalan lain yang diajukan sebagai pertimbangan ialah sama ada penerima mempunyai sejarah alahan teruk, sedang hamil atau bercadang untuk hamil dan sedang menyusukan bayi.

Bahagian bawah borang berkenaan pula memuatkan beberapa terma persetujuan yang perlu difahami oleh penerima sebelum diberikan suntikan vaksin, mengikut jenis dan dos ditetapkan.

Penerima juga dimaklumkan bahawa pengambilan vaksin COVID-19 mungkin akan menimbulkan reaksi dan kesan sampingan seperti dinyatakan dalam maklumat vaksin COVID-19 bagi penerima vaksin, mengikut lampiran satu.

Selain itu, penerima bertanggungjawab terhadap risiko yang mungkin berlaku akibat keputusan atau tindakan mengambil imunisasi kerana manfaat pelalian ialah lebih baik berbanding kesan sampingannya.

Sebarang pemberian vaksin juga dikatakan tidak memberi jaminan sepenuhnya kepada penerima daripada mendapat jangkitan COVID-19 pada masa akan datang.

Pada ruangan terakhir, beberapa butiran peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan, polis atau tentera, jenis vaksin dan persetujuan perlu dilengkapkan, sebelum borang berkenaan ditandatangani serta diserahkan kepada pegawai bertugas di klinik atau hospital.

SUMBER : BH ONLINE

Top