PETALING JAYA: Pengajian Melayu perlu ditingkatkan sebagai bidang dan disiplin ilmu strategik dengan melakukan rombakan terhadap struktur institusi sedia ada.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, untuk mencapai kemajuan baru dalam pengajian Melayu, tidak hanya memberi penekanan kepada penilaian orang Melayu, tetapi juga memperhatikan pandangan orang bukan Melayu.

“Saya menyeru agar kita merombak struktur yang sedia ada. Kita perlu melibatkan cendekiawan terbaik dari pelbagai kaum, meninjau semula kurikulum, dan melatih bakat terbaik untuk menjadikan pengajian ini sebagai bidang yang penting dan strategik bagi negara,” katanya dalam Syarahan Za’ba bertajuk ‘Pemerkasaan Pengajian Melayu Untuk Pembinaan Negara dan Pengisian Tuntutan Globalisasi’ di Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya (UM) hari ini.
Mohamed Khaled menekankan bahawa pengajian Melayu perlu disokong dengan sumbangan yang jelas dan ketara kepada bangsa dan negara, mengingatkan bahawa masyarakat sedang menghadapi cabaran pada zaman ini.
Selain itu, beliau menyatakan bahawa usaha untuk memperkasa Pengajian Melayu harus melibatkan kepentingan semua pihak, termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), gerakan massa, dan semua individu.
Pada masa yang sama, Mohamed Khaled mencadangkan agar UM menyediakan satu kertas kerja untuk memperkuatkan APM sebagai pusat ilmu penting untuk pengajian Melayu secara global, dan pada masa yang sama berupaya untuk menggantikan Sekolah Pengajian Oriental dan Afrika (SOAS) di Universiti London.