Menghadiri Majlis Pra-Pelancaran National Training Week (NTW) 2023 di Putrajaya hari ini. Inisiatif ini, antara lain, bertujuan untuk melonjakkan minat dan kesedaran masyarakat dalam meningkatkan kemahiran diri secara berterusan.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) kerana melibatkan KPT. Kerjasama rentas kementerian seperti ini sangat kritikal dan kementerian tidak boleh bekerja ‘in silo’ dan bersendirian.
Terima kasih juga pihak HRD Corp kerana menyahut tanggungjawab untuk memacu program ini bersama-sama pemain industri dan organisasi lain. Saya telah tekankan bahawa negara berhadapan dengan pelbagai isu, cabaran dan masalah.
Selama ini, tanggungjawab menyelesaikan sesuatu masalah diletakkan hanya pada satu kementerian. Kini, sudah sampai masanya, misi, agenda, isu, masalah dan cabaran tersebut diuruskan bersama-sama oleh semua pihak, termasuklah antara kementerian.
Bagi menjayakan NTW, saya telah memaklumkan bahawa sepanjang tempoh NTW, politeknik dan kolej-kolej komuniti di bawah KPT akan menawarkan pelbagai kursus dan latihan jangka pendek secara percuma.
KPT menyeru semua pihak untuk bersama-sama merebut peluang untuk mengikuti program-program latihan yang ditawarkan nanti.