Oleh Mohamed Khaled Nordin
Data adalah kuasa baharu yang penting dan sangat berpengaruh dalam kehidupan manusia. Mutakhir ini, manusia telah menghasilkan paling banyak data dalam sejarah peradaban mereka berbanding era sebelum ini. Menjelang tahun 2050, lebih 5 bilion penduduk dunia akan menggunakan media sosial secara intensif dalam kehidupan seharian mereka. Di Malaysia sahaja, pengguna media sosial meliputi hampir 80 peratus penduduk.
Berdasarkan dapatan satu kajian antarabangsa, sebanyak 205 bilion emel dikirim setiap hari pada 2015. Selain itu, sekiranya pengguna Facebook mengirim 40 juta post setiap minit, maka dianggarkan enam bilion like akan wujud sehari. Dianggarkan juga sebanyak 400,000 carian di Google dalam sesaat pada 2016. Pada 2020, setiap orang dijangka menjana 1.7 megabit sesaat.
Kita tidak boleh membiarkan sahaja segala maklumat ini kekal di persada maya. Limpahan atau ledakan data ini boleh dimanfaatkan untuk kebaikan dan kesejahteraan bersama. Sebagai contoh, data boleh dimanfaatkan untuk menentukan dasar dan polisi yang terbaik untuk rakyat.
Ketika berucap menyampaikan Amanat Tahun 2017 pada Januari lalu, saya memberi penekanan tentang kepentingan untuk memanfaatkan data raya. Saya berpandangan, masalah seperti bekalan air, pengangkutan awam, kebanjiran pekerja asing dan ketidakcukupan makanan boleh dirungkai menggunakan data raya. Hanya dengan tafsiran data secara saintifik, kita boleh memahami kehendak rakyat dengan lebih baik.
Melalui data, kita juga dapat memahami realiti masyarakat yang beragam dan kompleks. Ini boleh diakses melalui data-data mereka yang tersimpan dalam media sosial khususnya seperti Facebook, Instagram, Twitter, Youtube dan sebagainya. Dalam konteks pilihan raya misalnya, data-data ini sangat penting kerana ia dapat menyelami gelagat dan tabiat interaksi pengundi yang sebenar bersumberkan data yang disimpan oleh mereka dalam media sosial.
Kejayaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memenangi Pilihan Raya Presiden tahun lalu adalah hasil penguasaan tim kempen beliau menguasai data sekaligus berupaya memahami isu-isu pengundi dengan lebih tepat. Apa yang jelas, data adalah kuasa baharu yang ampuh dan sangat strategik.
Kemunculan konsep data raya telah menjadikan data sebagai satu komoditi baharu yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara. Kepentingan data raya semakin terserlah apabila kita perlu menganjakkan paradigma ekonomi sedia yang dipacu oleh oleh kreativiti, diupayakan oleh ‘big data’ dan digerakkan oleh ‘the millennial’. Di Johor, ekonomi negeri dirancang agar dipacu oleh data raya atau teknologi data. Iskandar Malaysia khususnya, memerlukan satu ‘imptetus baharu’ untuk kedinamikan pertumbuhannya.
Kepesatan data dan teknologi digital bukan sahaja penting dalam sektor ekonomi, tetapi dalam usaha memperbaiki struktur dan tata kelola atau governan dengan lebih baik. Dalam hal ini, kita tidak boleh lagi dibatasi dengan struktur sedia ada kerana struktur kerajaan adalah struktur yang dibangunkan bukan untuk dekad dan abad akan datang, tetapi abad yang lepas.
Justeru, Johor sangat mengalu-alukan penubuhan Pusat Data Iskandar Puteri (IPDC) TM One yang dilancarkan baru-baru ini. Pusat data berkepentingan global ini akan berupaya merealisasikan hasrat dan visi besar “Intelligence Johor” yang kita cita-citakan. Visi ini berhasratkan sebuah kerajaan dan masyarakat yang dibangun dan dimakmurkan melalui kepintaran dan kebitaraan idea, kreativiti, inovasi dan teknologi digital.
Inisiatif ini juga adalah selari dengan usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai Hab Pusat Data Dunia, di bawah inisiatif Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA). Kita percaya, melalui segala kemudahan yang ditawarkan IPDC akan memposisikan Malaysia dan Johor khususnya, sebagai destinasi pilihan bagi pelabur-pelabur Pusat Data secara langsung. Ia akan menjadi titik rujukan kepada pelbagai pelabur dan pemain-pemain industri global bagi menjadikan lokasi Iskandar Malaysia sebagai lokasi utama dalam aspek penyimpanan data yang selamat dan stabil.
Selain itu, inisiatif ini akan memangkinkan pertumbuhan pusat-pusat data seiring dengannya. Lebih-lebih lagi, Johor menawarkan kos pengoperasian yang amat kompetitif berbanding di negara- jiran seperti Singapura dan negara Asia lain. Berbekalkan fasiliti dan sekuriti yang kemas dan tersusun serta tarif dan harga harga hartanah yang rendah dan kompetitif, tidak mustahil wilayah ini akan menjadi pusat utama bagi penyedia perkhidmatan pengkomputeran awan global.
Kita juga percaya yang selain menarik minat pemain global, Pusat Data ini akan dapat merangsang pembangunan kluster syarikat perkhidmatan pengkomputeran awan tempatan. Justeru, ia akan memberikan kesan domino kepada keupayaan menarik para pelabur asing untuk melabur di negara kita. Impak yang bakal diraih tidak hanya dari hasil pelaburan, malah penciptaan peluang-peluang pekerjaan serta ruang bagi rakyat untuk mengambil manfaat darinya, secara langsung ataupun sebaliknya.
Menjelang 2020, Malaysia memerlukan kira-kira 20,000 orang pakar profesional dalam bidang data. Ini tentunya akan merangsang pertumbuhan sosio-ekonomi penduduk setempat serta mewujudkan ekosistem yang selari dengan aspirasi kerajaan, iaitu sebuah kehidupan kosmopolitan moden yang kondusif, inklusif dan serba canggih.
Apa yang jelas, data bukan lagi sekadar satu himpunan rekod. Akan tetapi sumber kekayaan dan khazanah. Ia telah menjadi aset bukan hanya kepada perniagaan tetapi juga kepada kerajaan. Ia mempunyai nilai yang sangat luar biasa. Semua ini telah memberikan kesan kepada pengoperasian perniagaan dan cara kita melaksanakan sesuatu agenda dan perancangan kerajaan.
Kita tidak seharusnya ketinggalan dan melepaskan khazanah dan sumber kekayaan baharu ini. Paling kritikal, kita memerlukan lebih ramai tenaga profesional seperti saintis, penganalisis dan jurutera mahir yang dapat memanfaatkan teknologi data raya dengan sebaik mungkin.