Masyarakat kini sedang menikmati fasa pembangunan yang tidak pernah kita impikan selama ini. Segala-galanya sedang bergerak pantas membangun dan menjadi yang terbaik.
Namun, di sebalik semua kejayaan ini, ternyata kita juga berhadapan dengan cabaran yang sangat besar. Cabaran terhadap nilai dan keperibadian bangsa yang semakin susut moralnya.
Salah satu penyebab kesusutan atau kemerosotan moral ini adalah kerana kurangnya suri teladan yang baik.
Mungkin ada yang berkata, bukankah Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik teladan? Adakah keteladanan dan ketinggian sahsiah Baginda masih tidak memadai?
Benar, Baginda SAW adalah contoh teladan terbaik buat umat manusia. Tetapi Baginda hadir dalam zaman yang berbeza konteks dan cabarannya. Kita tidak seharusnya mengenepikan konteks dan cabaran hidup zaman kita.
Generasi sekarang, teladan mereka adalah apa yang terpapar di medium sosial seperti Facebook, Youtube dan Twitter. Mereka lebih akrab dengan Blackberry Messenger, Whatsapp dan We-chat dibandingkan dengan pesanan hikmah daripada para ambia’ yang termaktub dalam kitab-kitab lama.
Akhirnya, kecintaan pada dunia yang diajarkan oleh nilai-nilai kapitalis global telah membuatkan pemuda dan pemudi semakin jauh dari Islam, apatah lagi dari Rasulullah SAW.
Jika kita membuka lembaran sejarah dan sirah Nabawiyyah, pasti kita ingat betapa para Rasul dan ambia’, adalah mereka yang diutuskan untuk menyempurnakan karakter dan akhlak umat manusia.
Misi mereka secara ringkasnya pernah diungkapkan dalam sebuah syair Indonesia, “bangunlah jiwanya-bangunlah badannya”, yang bermaksud walau sekuat mana fizikal seseorang, ia tidak akan dapat mengatasi kentalnya karakter, pemikiran, jiwa, nurani, dan perilaku seseorang.
Sejarah bangsa di dunia harus kita jadikan sandaran. Kehancuran sesebuah peradaban bukan hanya kerana serangan dan ancaman luaran, tetapi juga dari lemahnya rohani bangsa tersebut.
Justeru, saya menyarankan agar kita dapat melipat gandakan segala usaha untuk pembangunan karakter terbaik bangsa kita.
INSTITUSI AGAMA PERLU DIBERI MANDAT LEBIH BESAR
Di Johor misalnya, saya melihat peranan yang begitu besar perlu dimainkan institusi agama. Mencorak barisan hadapan dan membangunkan karakter yang sangat kukuh nilai-nilai Islam, terutamanya dari segi pembentukan akhlak yang mulia.
Dengan harapan, Johor dibanjiri dengan sosok insan muslim yang berbuat kebajikan demi kepatuhannya kepada Allah dan Rasul-Nya. Saya yakin, seruan ini, senafas dengan misi risalah Nabi Muhammad SAW.
Institusi agama seperti Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), mesti meningkatkan peranan dakwah dan tajdidnya. Mesti menjadi juara pencerahan menuju terbentuknya peradaban dan sistem nilai bangsa yang berkemajuan.
Kerana itulah, MARSAH tidak boleh menjadi hanya sebuah institusi pendidikan biasa. Ia mesti memainkan peranan lebih besar dari hanya pusat pengajaran ilmu Islam.
MARSAH perlu menjadi sebahagian daripada gerakan Islam yang menjadikan agama sebagai graviti hidup yang diangkat dengan ketaatan.
Gerakan agama yang akan merangkul kembali anak muda Islam dari media-media alternatif agar tidak terus terpesona dan hanyut dengan dunia yang fana dan kembali kepada matlamat serta fitrah hidup yang sebenar.
Selain itu, MARSAH juga perlu menjadi gerakan dakwah Amar Ma’ruf Nahi Munkar. Seruan serampang dua mata ini sering kali kita dengar. Namun, merealisasikannya tidak semudah yang kita sangka. Tetapi kita tidak punya pilihan. Ia mesti dilakukan.
Kerana, ikhtiar menyuburkan seribu kebaikan tidak akan menjadi, kalau seribu kemungkaran terus dibiar berleluasa.
Di sinilah, MARSAH dan graduan pengajian Islamnya harus tampil sebagai sebuah gerakan Tajdid atau gerakan pembaharuan. Gerakan yang memikirkan pembaharuan dalam sistem berbangsa dan amalan bernegara.
Gerakan yang mengajak masyarakat untuk mengubah cara hidup dan cara berfikir agar dengan pemikiran yang berkemajuan, bangsa ini akan turut menjadi sebuah bangsa yang berkemajuan.
Kerana itu juga, adalah menjadi keperluan untuk MARSAH diangkat menjadi institusi yang mempunyai mandat dan peranan yang lebih besar. Ia tidak seharusnya kekal menjadi pusat yang melahirkan graduan jurusan agama semata-mata, tetapi institusi yang menggalas tanggungjawab lebih besar dan strategik.
Justeru, saya telah mencadangkan agar MARSAH turut diberikan mandat menjadi institut melatih para pendidik atau guru-guru agama. Kerana, kita bukan sahaja memerlukan graduan pengajian Islam yang terbaik, tetapi juga para pendidik dan guru-guru agama yang terbaik.
Di pihak kerajaan, inilah harapan kami buat para graduan pengajian Islam. Mereka bukan hanya sebagai graduan biasa, tetapi graduan berpendidikan tinggi dalam bidang agama.
Sebagai graduan jurusan agama, masyarakat di luar sana mempunyai jangkaan mereka tersendiri. Malah, saya sendiri mempunyai jangkaan serta harapan yang tersendiri.
Mereka adalah graduan yang akan mencorakan perjalanan pembangunan agama Islam di Johor dan Malaysia ini.
Dengan ilmu yang bersandarkan wahyu dan tauhid, mereka harus berperanan lebih besar untuk membangunkan bangsa dan umat Islam, menjadi Benteng Moral Johor yang berkemajuan dan menjadi pendiri karakter Johor yang Berkemajuan.
Kami sandarkan harapan, agar Johor dan masyarakatnya, dapat dicorakkan dengan ilmu, nasihat, kepakaran dan hikmah kebijaksanaan agar kita menjadi masyarakat dan tanahair yang bukan sahaja maju, tetapi Islami.
Kerana, jika bukan graduan jurusan agama, siapa lagi yang akan menyebar risalah agama ini? Siapa lagi yang akan mempimpin moral masyarakat agar menyantuni fitrah bangsa dan masyarakat terbaik?
Kita semua sangat mendambakan agar bangsa ini kembali dikenal sebagai bangsa yang besar dan disegani. Bangsa yang kembali bangkit dan bersinar menjadi bangsa terbaik.
Ia hanya boleh terhasil, apabila umat Islam terbina akhlak dan pemikirannya dengan baik. Semua ini tanggungjawab kita bersama. Marilah kita menanam azam untuk menjayakan aspirasi ini.
MOHAMED KHALED BIN NORDIN
Menteri Besar Johor
Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang