Saya ingin menjawab tentang pertikaian oleh pihak yang menganggap siri-siri lawatan ke Parlimen sebagai ‘gimik politik’, saya ingin menegaskan bahawa siri-siri lawatan ke semua Parlimen yang dilakukan tersebut adalah bersebab dan mempunyai kepentingan serta objektif yang tersendiri.
Melalui lawatan-lawatan ini, Kerajaan Negeri serta saya sendiri akan berpeluang melakukan beberapa perkara penting dengan lebih berkesan.
Pertama, ia membuka ruang untuk kita memantau sendiri perkembangan bagi segala agenda pembangunan, projek serta program pro rakyat yang sedang atau bakal dilaksanankan di sesuatu kawasan Parlimen.
Malah, dalam lawatan ini jugalah segala komitmen serta titik sentuhan, yang sebahagian besarnya dinyatakan dalam Bajet 2017, diumumkan dan dilaksanakan.
Misalnya, pengambilan balik tanah bagi pembinaan RMMJ yang keseluruhannya berkeluasan 229.753 ekar yang melibatkan kos berjumlah RM54,491,545, yang melibatkan pelbagai kawasan.
Selain pengambilan tanah bagi tujuan pembinaan RMMJ, projek pembinaan jalan baru, naiktaraf dan penyelenggaraan jaringan jalan raya seluruh Johor turut diberikan perhatian.
Dalam aspek ini, sejumlah RM 416,213,290.82 telah diperuntukkan bagi tujuan menyelenggara pelbagai Jalan-Jalan Negeri, Jalan-Jalan Kampung dan Jalan-Jalan Di Pihak Berkuasa Tempatan.
Selain daripada pembinaan dan penaiktarafan jalan, lawatan ke Parlimen ini juga memberi perhatian dan penekanan kepada pembinaan infrastruktur pendidikan agama.
Antara projek-projek yang difokuskan sepanjang lawatan ini adalah projek-projek sambungan pembinaan fasa 1 hingga 4 sekolah-sekolah agama dan projek baru fasa 5 sekolah-sekolah agama kerajaan negeri (SAKJ) bermula tahun ini.
Untuk tahun 2017, sebanyak 30 buah lagi sekolah agama baru akan dibangunkan oleh KPRJ dengan bernilai RM 172,804,624.48.
Dan yang terakhir, siri lawatan ke Parlimen yang saya lakukan ini melibatkan pengumuman kelulusan pembinaan 11 buah Dewan Muafakat Johor di pelbagai kawasan di seluruh Johor, dengan kos kira-kira RM 41.3 juta.
Secara keseluruhannya, lawatan ke Parlimen ini melibatkan pengumuman pelbagai inisiatif yang pecahan peruntukan keseluruhannya dibuat bagi memenuhi keperluan dan kepentingan sesuatu kawasan Parlimen tersebut.
Secara keseluruhannya, siri lawatan ini melibatkan sejumlah RM 1,403 juta nilai projek yang akan dan sedang dibangunkan dan diperuntukkan melalui kerajaan Negeri, Pusat, Swasta Dan Syarikat Berkaitan Kerajaan, yang kesemunya menyumbang dengan secara bersama bagi menyelesaikan isu-isu dan keperluan rakyat yang dibangkitkan sepanjang lawatan kerja ini.
Dan saya yakin, tidak ada satupun daripada kesemua projek ini yang tidak bersifat pro rakyat. Sebaliknya, setiap satunya mempunyai kepentingan dan keperluan yang tersendiri.
Kedua, saya juga ingin tegaskan yang dalam semua siri lawatan Parlimen ini, ia telah membolehkan berlakunya sesi perjumpaan secara langsung dengan penduduk tempatan.
Perkara ini penting kerana ia bukan sahaja menyuburkan amalan demokrasi yang memerlukan Kerajaan mendengar suara hati rakyat. Tetapi membolehkan kita mendapat pandangan serta pencerahan secara terus tentang sesuatu isu atau keperluan daripada penduduk setempat sendiri.
Ketiga, ini menunjukkan bahawa kita benar-benar Kerajaan Negeri yang inklusif dengan agenda pembangunan yang menyeluruh dan seimbang.
Pembangunan di Johor tidak hanya diberi perhatian atau ditumpukan kepada kawasan Johor Bahru atau Pengerang atau di tempat saya di Permas atau pasir Gudang sahaja. Sebaliknya, kita memastikan yang setiap penjuru Johor menikmati kerancakan pembangunan yang adil dan sewajarnya.
Keempat, saya suka untuk menekankan bahawa segala lawatan saya tersebut disertai oleh pengamal media dan mendapat liputan serta laporan yang meluas di media arus perdana serta media sosial.
Jadi, segala pengisian serta proses perjalanan lawatan tersebut boleh dilihat dan disemak oleh masyarakat di luar sana secara bebas dan terbuka.
Saya amat berpuas hati terhadap pelaksanaan lawatan kerja saya ke Parlimen-parlimen yang telah bermula sejak 3 Januari 2017 di Parlimen Johor Bahru. Dalam tempoh 4 bulan sehingga ke hari ini saya dan rombongan telah pergi turun padang ke 22 buah kawasan Parlimen.
Saya amat berharap, kita semua akan dapat mengurangkan rasa prejudis dan sikap pesimis yang tidak berasas bagi setiap program dan tindakan yang dilakukan oleh pihak Kerajaan. Ambillah ruang untuk bersama-sama membantu dan menyumbang agar segala agenda yang mendatangkan manfaat kepada rakyat Johor dapat diaksanakan dengan lancar dan berjaya.