PASIR GUDANG, 27 Ogos – UMNO perlu mengukuhkan nilai dan prinsip perjuangannya dengan bertunjangkan kepada kesucian Islam serta kembali kepada nilai dan prinsip yang dimiliki oleh para pendiri bangsa terdahulu.
Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, hanya dangan berbalik dan berpegang kepada nilai dan prinsip yang selari dengan ajaran Islam, kekuatan UMNO sebagai sebuah perjuangan membangun, membina dan memperkuat bangsa Melayu tidak akan lari dari landasannya.
Katanya, sumbangan paling besar Islam kepada Melayu bukan sekadar kebenaran akidah, amal ibadah, tradisi dan hukum-hakamnya, tetapi juga menjadi pencerahan yang telah membebaskan dan membina minda bangsa Melayu menjadi bangsa yang berminda terbuka, waras dan rasional.
“Saya tidak boleh bayangkan orang Melayu tanpa agama Islam. Tidak mungkin UMNO terus relevan kepada orang Melayu jika ia membelakangkan semangat dan aspirasi Islami.
“Sedangkan Islamlah satu-satunya pencetus revolusi minda paling transformatif kepada bangsa Melayu.
“Justeru, UMNO mesti terus menjadi pergerakan yang bertunjangkan Islam dan dipandu dengan prinsip-prinsip Islam yang sederhana, amanah, wasatiyyah dan tasamuh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Pasir Gudang yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO bahagian Pasir Gudang berkata, UMNO juga perlu sedar bahawa kesusutan nilai parti itu semakin teruk dan membarah malahan jika tidak dibendung dengan segera, UMNO boleh terkubur.
Katanya, berbeza dengan 70 tahun dulu, UMNO diasaskan dengan tujuan memerdekakan bangsa dan menjadikan bangsa Melayu itu lebih berkemajuan yang didokong oleh pendiri bangsa pada masa itu yang mempunyai prinsip, nilai, ketinggian budi dan berjiwa besar.
Tambah beliau lagi, keadaan politik hari ini sudah terlalu berbeza dan berubah.
Malah sejak kebelakangan ini, UMNO berhadapan dengan beberapa fenomena yang sangat merisaukan dan bercanggah dengan nilai dan prinsip UMNO itu sendiri.
“Pertama, orang Melayu sudah tidak ada lagi perasaan dan hubungan sentimental dengan UMNO.
“UMNO tidak lagi mampu memukau imaginasi orang Melayu. UMNO wujud atau tidak, pada mereka, bukan perkara penting.
“Pada mereka, UMNO bukan lagi satu-satunya wadah perjuangan dan kelangsungan bangsa Melayu yang terbaik. Mereka kini mempunyai pelbagai alternatif dan pilihan lain,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, UMNO dilihat tidak menjawab masalah sebenar orang Melayu.
“Ini adalah fenomena yang semakin ketara. Masalah UMNO hari ini adalah apabila ia dilihat, sama ada benar atau tidak, gagal menjuarai masalah sebenar orang Melayu.
“Gagal sebagai sebuah wadah yang mengangkat kepentingan Melayu. UMNO dilihat sedang bergerak songsang. Sebab ia kelihatan seolah-olah hanya menguntungkan dirinya sendiri. Atau hanya segelintir kecil elitis Melayu dan bukan semua orang Melayu,” katanya.
Beliau menambah, peranan UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa dilihat telah mula diambil alih dengan lebih baik oleh pelbagai pemegang taruh lain.
“UMNO tidak boleh menyerahkan perjuangan hakikinya kepada orang lain. Perjuangan menjadikan bangsa Melayu dan Malaysia itu lebih baik adalah satu-satunya mandat dan ikrar UMNO. Bukannya pelbagai NGO Melayu atau mana-mana pihak lain,” kata Mohamed Khaled.
Jelas beliau ketiga-tiga fenomena itu adalah ketara dan serius dan jika dibiarkan belarutan, ia boleh menjerumus UMNO ke dalam krisis nilai dan prinsip.
Oleh itu, beliau berkata UMNO mesti merencanakan semula Agenda Melayu yang diperjuangkannya, dengan memberikan sentuhan semasa dan kelainan.
“Sudah tiba masanya, kita menulis cerita baharu, sejarah baharu dan semua ini, hanya akan dapat kita lakukan dengan memperkasakan UMNO dengan visi dan citra yang juga baharu.
“Sebab itulah, di Johor, UMNO sedang kita rejuvenasikan dengan visi dan citra baharu, yang sesuai dengan prinsip dan nilai yang melatari aspirasi penubuhannya,” katanya. JAUHAR