MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT

Kita berhadapan dengan cabaran kesepaduan nasional yang semakin rapuh dan meluntur. Ada yang berkisar tentang perselisihan politik, kesenjangan status ekonomi, prejudis dan prasangka perkauman. Malah, kes kecurian yang jelas satu kes jenayah pun boleh dan pernah dijadikan isu perkauman.

5 pendekatan muafakat;

Pertama, Muafakat bermakna penolakan kepada ‘Ektremisme’ iaitu ideologi yang menghalang kita meraikan perbezaan dan kemajmukan. Kita menolak fahaman yang ekstrim, radikal, sempit dan bercanggah dengan kepentingan dan perpaduan nasional. DI JOHOR, tiada tempat bagi mereka yang menyuntik dan menyebar kebencian pada kaum, agama, asal usul dan golongan tertentu. Tiada tempat juga bagi mereka yang menutup keterbukaan dan hanya menerima pandangan sendiri sebagai satu kebenaran.

Kedua, Muafakat mengiktiraf kerencaman budaya. Kita menerima dan menghormati kepelbagaian budaya dan adat resam. Kita akur bahawa Malaysia memang sebuah negara yang berwajah majmuk dan kemajmukan ini adalah asas pembentukan Malaysia.

Ketiga, Muafakat mengajak kepada tolak ansur dan pendekatan sederhana. Malaysia percaya kepada kesaksamaan antara kaum. Adat bernegaranya matang dan bersusila tinggi. Yang lemah dibantu dan upayakan, yang terbuang dilindungi dan dibela, yang buntu dipimpin dengan jalan keluar yang bermaruah.
Tidak mengapa kita berbeza dan berlainan. Akan tetapi, amat penting untuk kita melakukan bertimbang rasa. Inilah falsafah sebenar muafakat. Kita percaya, tiada keamanan tanpa tolak ansur. Tiada kesejahteraan tanpa toleransi yang tinggi. Tiada kesepaduan nasional tanpa mengambil pendekatan yang sederhana.

Keempat, Muafakat adalah instrumen merekayasa sosial dan inklusiviti. Tiada yang ketinggalan atau ditinggalkan. Melalui semangat muafakat, kita susun agenda dan membentuk kerjasama pelbagai pihak demi kebaikan. Kemiskinan umpamanya, akan kita basmi melalui usahasama pelbagai pihak.
Cerdik pandai bangsa menyumbang pemikiran dan idea. Pergerakan sivil sebagai pelaksana. Golongan hartawan menyalurkan sumbangan dan dana. Golongan profesional menyalurkan kepakaran teknikal. Pelajar universiti menjadi sukarelawan. Media menjadi platform menyebar luaskan maklumat dan hebahan.

Kelima, Muafakat adalah identiti Johor. Kita mendambakan Johor menjadi sebuah masyarakat yang sangat bersatu padu. Kita percaya bahawa cara Johor, yang telah membolehkan kita memerintah dengan baik dan berkesan mesti dilestarikan melalui pembangunan ekonomi yang rancak.

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top