Kerajaan Johor Tidak Pinggir Orang Melayu

Baru-baru ini saya percaya, ramai yang membaca kerisauan yang ditunjukkan oleh beberapa pihak yang gusar sekiranya segala perkembangan pesat yang kita rancang akan hanya meminggirkan orang Melayu terutamanya di kawasan bandar.

Pertamanya, dalam 105 inisiatif baru yang saya bentangkan dalam bajet Johor 2015, hampir kesemuanya akan turut dinikmati oleh orang Melayu walaupun bukan dilakukan khas atas nama dan kepentingan orang Melayu.

Kita sudah acapkali menghebahkan yang kita telah merekodkan peningkatan yang begitu besar dalam peratusan tanah rizab Melayu di Johor. Dasar kita bukan sahaja tanah rizab Melayu harus bertambah, tetapi kita juga memperkenalkan dasar bahawa Melayu mesti menduduki kawasan bandar melalui Lingkaran Melayu di Bandar. Jcorp akan mengambil alih tanah seluas 382 ekar di Kem Tebrau oleh Jcorp, Kerajaan Johor juga tidak menyambung pajakan tanah seluas 196 ekar di Taman Perindustrian Larkin, RM 20 juta diperuntukkan untuk menyelamatkan tanah-tanah pertanian yang dimiliki orang Melayu. Dua kawasan strategik di sekitar Johor Bahru telah dikenal pasti sesuai untuk pembangunan Taman Perbadanan Islam pada 2015 iaitu di kawasan seluas 15 ekar di Telok Jawa dan 14 ekar lagi di Larkin. Zon Antarabangsa juga ditubuhkan untuk mengawal dan menyekat pemilikan warga asing di kawasan JB. Ada juga tuduhan syarikat hartanah membeli tanah Kerajaan. Ianya tidak benar kerana ianya tanah milik syarikat swasta. Saya juga seringkali ingatkan kepada orang Melayu jangan menjual tanah yang telah diberikan oleh Kerajaan.

Sasaran Kerajaan Negeri dalam membina Rumah Mampu Milik Johor kini telah meningkat lagi daripada 37 000 kepada 42 000 dengan harga RM 150 ribu kebawah.Ini Tidak termasuk PRIMA, PPRT serta skim Skim Sewa Beli. Johor kini peneraju pembinaan rumah mampu milik menyediakan harga yang lebih rendah dan peluang lebih banyak berbanding skim perumahan negeri lain termasuk dinegeri yang nilai hartanahnya lebih tinggi daripada Johor. Kita juga menetapkan syarat kepada pemaju kouta 40 peratus rumah mampu milik bagi setiap projek perumahan, antara tertinggi di Malaysia. 65% Rumah Mampu Milik Johor adalah untuk bumiputera. Kita dengar dan bertindak terhadap Suara Hati Johor, bukan hanya retorik.

Lebihan Hasil sebanyak 374 juta dan rizab sebanyak 2.3 billion pada tahun 2014 hasil daripada pengurusan kewangan berhemah akan diguna untuk merangka pendekatan pembangunan Pro Rakyat di seluruh Johor bukan sahaja di Iskandar Malaysia dan kepada orang Melayu berasaskan prinsip kesaksamaan. Ini adalah tangungjawab asas dan rukun dalam Kerajaan Negeri dalam merangka pelan untuk memperkasa dan memajukan melayu dalam pembangunan dan ekonomi.

Antaranya meningkatkan pemilikan hartanah bumiputera, memperkasa modal insan melalui program kemahiran, bakat, biasiswa dan pinjaman, geran dan program keusahawanan terutamanya untuk generasi muda disamping menggalakkan koperasi dan keusahawanan sosial, membasmi kemiskinan dan meringankan kos sara hidup termasuk dalam aspek pengangkutan awam, memelihara dan memulihara warisan bangsa, memperkukuh syiar islam.

Menyentuh soal modal insan, kita menekankan kepada melahirkan bakat dan kemahiran tinggi di kalangan anak Johor untuk membangunkan Negeri, Jika tidak peluang yang ada akan diambil bakat luar. Kita mahu melahirkan anak Johor yang maju mindsetnya, bukan negatif serba serbi. Antara inisiatif baru yang kita ambil adalah Skim Biasiswa Sultan Ibrahim telah diperkenalkan semula, JCorp Education Sponsorship Programme (JESP) dan JCorp Chartered Accountancy Program (JCAP) memberi penajaan untuk jurusan Ekonomi, Kejuruteraan, Undang-undang dan Perakaunan, Skim Bantuan Masuk U RM1,000 untuk peringkat Ijazah dan RM500 bagi peringkat Diploma, Skim Tuisyen SPM di Seluruh Johor, Potongan 25% rebat pinjaman YPJ, kita juga membangunkan Johor Skill Hub untuk bidang bidang keperluan di Johor.Penubuhan Centre of Excellence for Maritime Related Activities untuk memenuhi tenaga kerja maritim, serta Program Duta Jauhar untuk transformasi Komuniti. 24 Masa depan pembangunan Johor amat bergantung kepada bakat terbaik dari anak johor. Percayalah, bagi sebuah negeri yang menjadi permata Asia Tenggara, modal paling berharga ialah modal insan yang berketerampilan, berkemahiran tinggi, berani berniaga, berdaya saing, terpelajar, kreatif dan inovatif. Jika tidak peluang itu akan direbut orang luar jika kita tidak bersedia memenuhinya.Ini selalu saya tekankan sejak menerajui Kementerian Pengajian Tinggi lagi. Ini negeri kita, jika bukan kita siapa lagi yang mahu membangunkannya.

Dalam usaha kita memelihara dan memulihara warisan bangsa pula, Jcorp telah menaja cetakan semula akhbar Jawi.Pembinaan Pembangunan Berfasa Pusat Warisan Johor , isentif kerjaya YWJ, pembangunan Muzium,Tabung Amanah Warisan Johor sebanyak RM20 juta akan diperuntukkan.

Kita tidak menafikan kos sara hidup meningkat kerana kita bersebelahan dengan Singapura dan Kerajaan Negeri Johor prihatin dengan kos sara hidup yang tinggi dan senantiasa berusaha untuk mencari jalan meringankan beban termasuk dalam soal pengangkutan dengan menubuhkan unit pengangkutan awam setiap PBT bagi merangka pelan pengangkutan awam, 10 juta geran penubuhan koperasi harga patut, meningkat dan memperluaskan rebat air, menyelenggara PPRT, penubuhan Yayasan PBT bagi melaksanakan program kebajikan di setiap PBT selain menggalakkan lebih banyak pasar tani dibuka. RM44.5 juta juga disediakan bagi bantuan perubatan dan penjagaan kesihatan seperti rawatan hemodialisis dan RM1.8 juta untuk membina 2 lagi Pusat Rawatan Dialisis.

Selain meningkatkan keberkesanan agihan zakat dan memperkasa pembangunan wakaf, Majlis Agama Islam Johor membelanjakan 8 juta untuk membina dan membaik pulih rumah, 6.6 juta untuk bantuan makanan sihat di Sekolah Agama Johor, disamping mengkaji gaji guru agama di Johor. RM2.82 juta diagih kepada Badan Kebajikan Sekolah Rendah Agama Bersepadu Johor selain memperluas skim kitab percuma di Sekolah Agama dan program iqra dan fardhu ain di Tabika Kemas. Memperkukuh Syiar Islam juga merupakan salah satu fokus utama Kerajaan Negeri berdasarkan input rakyat Melalui Kajian Suara Hati Johor. Saya mahu melihat sistem pendidikan Islam di Johor melalui proses transformasi selari dengan kemajuan teknologi hari ini dan menjadikan Johor hab pendidikan Agama Islam Antarabangsa.

Dalam menjayakan misi sejak menjadi Menteri Pembangunan Usahawan menjadikan keusahawanan Kerjaya Pilihan, EDC akan mengambil alih premis komersial dan akan ditawarkan kepada usahawan iks, RM4 juta diperuntukkan bagi memperkasakan Program Galakan Usahawan, 1.8 juta untuk Nelayan di persisiran pantai, Program Pembangunan Bioekonomi Komuniti bagi meningkatkan pendapatan rakyat , 3 juta diperuntukkan Perbadanan Islam Johor bagi menyediakan inkubator dan Bantuan usahawan Belia Islam, Kerajaan Negeri juga mensasarkan 1000 usahawan online maya, anak muda perlu digalakkan mencipta produk yang kreatif dan memanfaatkan pemasaran online yang lebih luas, 10 juta diperuntukkan melalui PBT untuk menyediakan ruang niaga usahawan baru selain program keusahawanan untuk wanita dan ibu tunggal. JCorp juga kembali memegang saham majoriti KFC sebanyak 51 peratus berbanding hanya 24 peratus sahaja sebelum ini. Saya juga memberi jaminan setiap keuntungan Jcorp akan dipulangkan kepada rakyat termasuk penyediaan rumah mampu milik, program keusahawanan, pendidikan,peluang pekerjaan dan kebajikan.

Kesemua yang telah dirancang dan yang telah dilaksanakan sentiasa diukur, dipantau dan menjadi kpi exco yang bertanggungjawab. Saya tidak mahu melihat orang melayu di negeri ini tercicir dalam arus pembangunan negeri ini yang semakin pesat ini. Dengan pelbagai inisiatif serta program pembangunan usahawan yang telah dirangka oleh Kerajaan Negeri ini, maka terpulanglah kepada rakyat untuk merebut setiap peluang manfaat pertumbuhan ekonomi. Kita tidak boleh sekadar menjadi penonton kepada pembangunan di Johor. Warga Johor perlu melakukan perubahan mindset supaya pembangunan Johor menguntungkan rakyatnya. Pelbagai usaha Kerajaan Johor melibatkan penyertaan rakyat dalam pembangunan. Sesungguhnya, pembangunan Johor yang inklusif memerlukan perubahan mindset dalam kalangan rakyat melalui penguasaan ilmu dan keusahawanan. Pembangunan Johor yang inklusif juga harus memastikan keperluan khusus orang Melayu terbela tanpa menafikan hak kaum lain.

Orang Melayu harus berani dan mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran untuk berniaga, Dengan berniaga umat Islam berupaya memperkukuh ekonomi dan mengeluarkan zakat dan sedekah yang merupakan instrument ekonomi bagi membangunkan ummah dan membantu umat islam yang lain supaya umat islam tidak tercicir dari arus pembangunan yang tetap akan berlaku.

Kita tidak mahu menjadi ‘backyard ‘ Singapura. Kita juga tidak mahu jadi seperti di Kelantan yang mana rakyatnya terpaksa berhijrah keluar negeri kerana ketiadaan peluang pekerjaan. Saya percaya rakyat Johor tidak mengalah hadapi cabaran. Johor kini merupakan penyumbang perlaburan terbesar negara dan berusaha menjadi ‘new economic powerhouse’ dalam memastikan ekonomi negara mampu berhadapan persekitaran global yang tidak menentu. Kesilapan semalam pedoman untuk hari esok yang lebih baik. Saya percaya rakyat bijak untuk menilai adakah semua yang kita lakukan sejak hampir 2 tahun ini meminggirkan dan tidak memberi manfaat kepada orang melayu?

Sumber: Jauhar

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top