Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai ekonomi yang kompetitif. Kita berada dalam kedudukan 25 negara paling kompetitif ekonominya mengikut Indeks Kompetetif Global. Dan ekonomi kita antara yang paling pesat tumbuh di kalangan negara membangun. Semua pencapaian ini kita kecapi, hanya dalam satu generasi selepas kemerdekaan negara. Ini berlaku kerana dua faktor penting. Pertama, peranan besar sektor perniagaan kecil dan sederhana. Kedua, kegigihan usahawan kita. Usahawan menjadi pemangkin pertumbuhan, pencetus inovasi dan kreativiti, dan berdaya tahan. Hari ini, izinkan saya memperkatakannya dan menghargai peranan usahawan-usahawan kita.
Usahawan menjadi latar cerita perniagaan kita di Johor. Cerita tentang mereka yang membuat keputusan untuk melakukan perniagaan secara bersendirian, berseorangan. Mereka menubuhkan perniagaan dan memilikinya. Mereka adalah usahawan-usahawan berani. Berani mengambil risiko. Berani menyahut cabaran. Mereka yang mengusahakan kedai kopi, kedai runcit, kedai ubat, kedai sukan, kedai perabot. Pergilah ke Jalan Wong Ah Fook dan persekitarannya. Kedai-kedai di sana itu telah wujud semenjak permodenan Johor. Dan ia masih wujud, dan kekal beroperasi sehingga hari ini.
Semua ini banyak pengajarannya. Pertama, kita mesti mengakui peranan perniagaan kecil dan sederhana. Mereka telah banyak menyumbang kepada kebolehsaingan Malaysia. Mereka adalah pemain-pemain kecil tetapi mereka jugalah kapten perusahaan yang menyokong pertumbuhan ekonomi negeri sehingga hari ini. Pengajaran kedua, perniagaan kecil telah memberi pencerahan kepada Kerajaan. Bahawa kita mesti menjadi negeri dan negara yang meraikan semangat keusahawanan. Dan kita mengambil iktibar dari semangat dan cerita mereka. Kita belajar betapa dalam sektor perdagangan, kita akan hanya berkembang dan berdaya saing, jika kita mempunyai usahawan yang tegar, tidak gentar, punya jatidiri usahawan sebenar. Pengajaran ketiga yang boleh kita ambil iktibar adalah, perniagaan kecil dan sederhana harus menjadi keutamaan dalam agenda pertumbuhan inklusif kita. Atas alasan inilah, dasar pertumbuhan, pembangunan dan pengagihan ekonomi Johor dilakarkan agar tidak meminggirkan sesiapa jua.
Teliti kembali Bajet Negeri Johor sejak dua tahun lepas. Semua insentif yang kita berikan, agihan dan program yang kita anjurkan, banyak tertumpu kepada inisiatif memperluas taraf keusahawanan masyarakat kita. Kita mahu Johor menjadi negeri yang bersifat keusahawanan dan biar ekonomi Johor ini digerak, dibangun, dijayakan oleh semangat ‘Keusahawanan Johor’.
Bila kita bercakap tentang perniagaan kecil dan sederhana, salah satu sektor penting yang mempunyai asas kukuh di Malaysia ialah pemborongan dan peruncitan. Malaysia sangat berjaya dalam bidang ini. Kita berada di tangga ke-9 Indeks Pembangunan Runcit Global, yang mempamerkan peratusan daya tarikan pasaran pada kadar 66.7%. Ini menunjukkan yang peruncitan mempunyai potensi yang sangat luar biasa. Ia dijangka akan menyumbang sebanyak RM84 bilion daripada pendapatan negara kasar dan mewujudkan lebih 370,000 pekerjaan dalam masa 10 tahun mendatang.
Kerana itulah, kita perlu membangunkannya dengan serius. Maka salah satu strateginya ialah menerusi Program Transformasi Kedai Runcit atau Tukar (TUKAR). Ianya adalah sebahagian dari agenda besar di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara. Tujuannya ialah untuk memodenkan kedai runcit tradisional bagi meningkatkan tahap daya saing dalam persekitaran perniagaan yang kompetitif. Dalam Bajet 2015 yang lalu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan tambahan RM1.5 juta kepada peruntukan terdahulu dengan hasrat untuk memperbanyakkan kedai TUKAR ini. Kini, Johor mempunyai 50 kedai TUKAR. Dan sasaran kita, menjelang 2020 Johor mempunyai 400 buah kedai TUKAR.
Di Johor, seperti lazimnya, kita tidak akan mudah berpuas hati. Kita ingin pergi lebih jauh. Bukan setakat TUKAR. Kita juga ada ‘JohorMart’. JohorMart ini adalah satu lagi daya usaha Kerajaan Negeri dengan kerjasama PUJB Retaildan MARA. Ianya mahu memupuk dan membudayakan sektor peruncitan di kalangan golongan bumiputera. TUKAR dan JohorMart bukan setakat menukar penampilan. Yang ingin ditukar – pemikiran, sikap dan budaya keusahawanan itu sendiri. Maka kerana itu, hari ini saya ingin menyarankan tiga strategi penting bagi memastikan sektor peruncitan kita maju, mapan dan berdaya saing iaitu pelaburan dalam produtiviti, pelaburan dalam individu dan pekerja dan pelaburan dalam ekonomi.
Pertama, kita mesti melabur untuk meningkatkan produktiviti. Meningkatkan produktiviti ini penting kerana tanpa produktiviti, ia sekadar rutin yang tidak mencabar. Kata orang ‘it is business as usual’. Dan meningkatkan produktiviti bererti meningkatkan keberkesanan. Dan perniagaan yang produktif ialah perniagaan yang cekap kos atau‘cost–efficient’. Kedua, kita mesti melabur dalam pembangunan individu dan pekerja kita. Dan ini mesti dilakukan secara berterusan dan pada semua peringkat. Layanan baik, sapaan yang mesra, pengetahuan mendalam tentang produk terjual, penampilan yang segak, semuanya penting kepada pelanggan. Ketiga, pelaburan dalam teknologi sangat penting. Kehidupan kita hari ini bersandarkan teknologi. Dan kerana itu, pemain sektor peruncitan juga harus melakukan pelaburan untuk lebih inovatif. Teknologi komunikasi umpamanya, membolehkan produk ditawarkan melangkaui pelanggan tradisional. Ianya lebih luas, lebih menguntungkan.
Sumber : Jauhar