JAIJ Bina & Baikpulih 900 Rumah Dengan Kos RM20 Juta

Menguruskan amanah pembayar zakat mengikut syariat Islam, itulah agenda utama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dalam menguruskan wang zakat yang diterima.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Abd Mutalib Abd Rahim, berkata pelbagai program yang sudah dilaksanakan bagi memastikan proses agihan zakat itu benar-benar menepati objektif dan sampai kepada golongan sasar.

Katanya, satu program yang dilaksanakan adalah Program Jejak Asnaf yang berfungsi mengesan golongan yang layak menerima bantuan zakat.

“Program Jejak Asnaf ini projek kita. Banyak yang kita minta, khususnya pelbagai pihak termasuk jabatan-jabatan kerajaan, amil dan pelbagai lagi sumber senarai-senarai yang layak menerima bantuan.

“Kita juga sedang mengkaji untuk melantik satu perunding bagi menyemak semula senarai itu,” katanya.

Program Jejak Asnaf menyediakan pelbagai skim bantuan antaranya bantuan hari raya, bantuan sara hidup bulanan, bantuan perubatan, bantuan perumahan, bantuan berdikari dan bantuan pendaftaran institusi pengajian tinggi.

Turut disalurkan ialah bantuan pakaian sekolah, bantuan basikal pelajar, dermasiswa pelajar di luar negara, pembiayaan tambang pengajian, bantuan menjelaskan hutang, kebajikan saudara baharu, bantuan segera serta bantuan bencana alam.

Selain Program Jejak Asnaf, MAINJ baru-baru ini melancarkan program Bantuan Rumah dan program dalam usaha menjaga kebajikan dan mening­katkan taraf hidup umat Islam di negeri ini.

Melalui bantuan rumah, golongan miskin akan dibantu membina dan membaik pulih rumah serta bantuan sewa rumah selain menambah rumah transit di setiap daerah untuk memberi penempatan sementara kepada golongan fakir dan miskin yang tidak mempunyai kediaman.

Skim Bantuan Perumahan MAINJ mula diperkenalkan pada 2003 dan mula berkembang secara berperingkat seiring dengan peningkatan pungutan zakat di Johor.

Sepanjang 10 tahun pelaksanaannya, MAINJ telah membina sebanyak 550 rumah baharu dengan kos melebihi RM17 juta manakala sebanyak 350 rumah dibaikpulih dengan perbelanjaan melebihi RM3 juta.

Bagi tahun ini, MAINJ bercadang memperluaskan lagi program bantuan rumah ini bagi membantu pihak kerajaan menangani masalah fakir dan miskin yang masih tidak mempunyai kediaman yang selesa dan selamat dengan anggaran membina 250 unit rumah.

Sasaran membina 250 rumah dijangka akan dapat diselesaikan pada Oktober 2014.

Abd Mutalib berkata, selain itu, MAINJ menyediakan bantuan secara ad hoc kepada mereka yang benar-benar dalam kesusahan.

“Ada bantuan yang kita beri segera seperti orang yang keputusan belanja. Untuk kes ini, kita siasat segera dan kita beri pada masa itu juga. Kita ada peruntukan untuk perkara itu dengan jumlah maksimum RM300.

“Saya menyeru masayarakat supaya merujuk kepada jabatan agama dan saya juga menyeru kepada jabatan supaya lebih mesra kepada pelanggan sebab saya selalu berpesan, kita bekerja di sini adalah kerana asnaf-asnaf ini,” katanya.

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top