TIADA bandar besar di negara ini dapat lari daripada isu segelintir warganya yang menjadi komuniti gelandangan. Gelandangan dianggap antara masalah sosial khususnya di bandar besar termasuk di Bandaraya Johor Bahru.
Namun, apa yang unik mengenai gelandangan di bandaraya ini ialah mereka terdiri daripada kalangan yang mempunyai pekerjaan tetap. Mereka yang bekerja di Singapura dikenalpasti sebagai kumpulan utama gelandangan di Bandaraya Johor Bahru.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Asiah Md Ariff berkata, hasil pemantauan pihaknya mendapati 40 peratus daripada jumlah keseluruhan komuniti gelandangan di bandaraya itu mempunyai pekerjaan tetap di Singapura.
Katanya, gelandangan ini terdiri daripada anak Johor yang bekerja di republik itu dan keluarga yang jauh dari bandaraya selain warga kerja dari Sabah dan Sarawak.
Mereka bekerja sebagai pemandu lori, pekerja kapal, pekerja kilang, buruh binaan dan penjaga stor dan sebagainya.
“Mereka menjadi gelandangan kerana beberapa faktor iaitu mempunyai majikan di Singapura dan kekangan masa kerja yang ketat kerana menerima gaji berdasarkan jumlah jam bekerja. Selain itu, mereka memerlukan rehat seketika sementara menanti waktu untuk bekerja semula.
“Turut menyumbang kepada masalah ini ialah infrastruktur yang terdapat di bandaraya Johor Bahru yang menjadi tumpuan untuk golongan ini tidur seperti di kaki lima dan penjuru bangunan serta taman riadah,” katanya.
Katanya, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) sudah menubuhkan Anjung Singgah sebagai rumah berlindung sementara untuk golongan gelandangan bagi mengatasi masalah itu.
Objektif penubuhan Anjung Singgah itu adalah untuk menyediakan tempat berlindung sementara kepada golongan gelandangan yang produktif atau bekerja tetapi tiada tempat tinggal. Penubuhannya secara tidak langsung juga menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri mengurangkan masalah gelandangan melalui kaedah ‘win-win situation’.
Asiah berkata, Anjung Singgah Johor Bahru yang terletak di tingkat bawah Bangunan MCA di Jalan Segget mula beroperasi mulai Jun 2013. Sebanyak 64 katil disediakan bagi lelaki, 18 bagi wanita serta tiga bilik untuk keluarga disediakan di pusat itu selain terdapat kafeteria, surau, bilik mandi dan bilik pemeriksaan kesihatan.
Dikendalikan lima petugas iaitu dua penyelia dan tiga pembantu penyelia, pusat ini diharap dapat membantu menangani isu gelandangan di sekitar Bandaraya Johor Bahru.
Seorang penghuninya, Nyana Segaran Ramasamy, 45, berkata, penubuhan pusat sebegini sememangnya banyak membantu meringankan beban gelandangan sepertinya.
“Saya tidak mahu tinggal lama di sini kerana saya sedar, ramai lagi di luar sana yang lebih memerlukan tempat tinggal. Apabila sudah mendapat kerja, saya akan mencari rumah atau sekurang-kurangnya bilik sewa bagi memberi ruang kepada golongan lain seperti saya untuk berteduh sementara di sini,” katanya.
Sumber : Jauhar