Kita harus faham bahawa segala pendekatan kerajaan dalam melaksanakan sesuatu perkara perlu mengambil kira perbezaan dan pencapaian yang terdapat pada semua kaum di negara ini.
Kita perlu sedar dan menerima hakikat, kepelbagaian yang ada dalam negara menjadikan masalah yang dihadapi sesuatu kaum itu berbeza daripada kaum yang lain.
Pencapaian kita semua tidak sama, ada yang sudah jauh menguasai ekonomi dan ada yang jauh tertinggal ke belakang. Kalau kita wujudkan dasar dan pelaksanaan yang sama maka sudah tentulah jurang ekonomi yang semakin besar akan berlaku sesama kaum. Kegagalan menguruskan formula yang bersesuaian dalam menguruskan kepelbagaian ini akan merencatkan pembangunan negara.
Kita perlu berhadapan dengan soal bagaimana kita urus perbezaan dan kepelbagaian ini , kalau kita gagal membuat perimbangan maka negara ini tidak akan stabil, jika tidak stabil kita tidak akan dapat membangunkan negara dan jika negara tidak dapat dibangunkan, kehidupan akan jadi tidak sejahtera.