Kerajaan negeri akan memuktamadkan rundingan dengan Petronas tentang pengagihan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang untuk diberikan kepada kontraktor serta usahawan tempatan dan bumiputera.Kerajaan sentiasa mengambil kira peranan dan penyertaan pelbagai pihak termasuk syarikat tempatan, usahawan dan kontraktor dalam projek besar yang dijalankan termasuk projek Rapid.
Sebuah jawatankuasa yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan disertai wakil Petronas turut diwujudkan bagi mengagihkan projek berkenaan dan secara prinsipnya Petronas bersetuju akan pentingnya memberi peluang kepada kontraktor dan usahawan tempatan bagi mengambil manfaat daripada projek RAPID.
Projek Rapid yang dijangka siap sepenuhnya pada 2016 itu akan menjadikan Pengerang yang terletak di timur Johor sebagai hab industri minyak dan gas terbaharu di Asia Tenggara, menyaingi Singapura.Projek itu turut meliputi, antaranya pembinaan loji penapisan minyak, loji petrokimia dan terminal simpanan minyak serta jeti laut dalam.