Kerajaan Negeri Johor menyambut baik penubuhan lebih banyak koperasi supaya rakyat di seluruh negeri berdaya usaha dalam aspek kehidupan, sosial dan penglibatan dalam bidang ekonomi dan koperasi adalah instrumen yang berpotensi dalam memastikan rakyat tidak tercicir dan terlepas daripada manfaat yang ada.
Koperasi juga harus memainkan peranan sebagai pemberi pinjaman supaya ahlinya tidak meminjam dengan ah long atau ceti haram dan melibatkan diri dalam sektor rantaian nilai dan pemasaran supaya dapat melipatgandakan keuntungan yang akhirnya dapat dikongsi bersama.
Koperasi adalah institusi ketiga selepas sektor awam dan swasta yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta membolehkan anggota mendapat pelbagai manfaat. Kita mahu penyertaan masyarakat dalam ekonomi supaya pengagihan dapat dilakukan. Penyertaan bukan sahaja dari segi kemampuan sendiri tetapi secara berkelompok supaya lebih ramai dapat menikmati kemajuan ekonomi termasuk di Iskandar Malaysia.
Peranan kerajaan adalah menjadi fasilitator dan pemudah cara untuk membangun keupayaan rakyat. Terserah kepada kita sama ada mahu mendapat manfaat daripadanya atau tidak.
Nilai keusahawan, inovasi dan kreativiti adalah penting untuk berjaya dan berdepan segala kemelut dan cabaran yang dihadapi dunia dan masyarakat. Itu sebabnya kita tekankan nilai keusahawanan di kalangan anak-anak kita di universiti. Muafakat Johor