KENYATAAN KETUA PEMUDA UMNO JOHOR

14hb Ogos 2017

1. Reaksi balas Ketua Menteri Pulau Pinang jelas menunjukkan bahawa beliau terkesan dengan kenyataan Menteri Besar Johor baru-baru ini. Benarlah kata pepatah, Siapa yang makan cili dia yang terasa pedasnya.

2. Melihat kepada kenyataan terbaru beliau, Ketua Menteri Pulau Pinang sendiri mengakui bahawa Pulau Pinang kini memang tandus dengan nilai dan identiti bangsa & agama. Ini kerana, takrifan nilai dan identiti bangsa & agama di Pulau Pinang disamatarafkan dan disandarkan dengan jumlah angka peruntukan tahunan semata-mata.

3. Bagi kami di Johor, soal identiti sebagai sebuah bangsa dan agama ianya menjangkaui dari nilai – nilai yang boleh disukat oleh angka. Ianya tidak semurah wang ringgit. Tidak sama sekali boleh disamakan dengan apa jua bentuk material.

4. Bagi kami di Johor, senantiasa memikirkan dan berusaha untuk mencari formula, cara, pendekatan, serta strategi di dalam membentuk dan membangunkan nilai, identiti dan ketamadunan sebagai sebuah bangsa yang bermaruah.

5. Bangsa yang sentiasa berpegang kepada nilai-nilai agama dan kepercayaan masing-masing sebagai asas kepada bangsa yang harmoni, sejajar dengan prinsip Rukunegara yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan. Ianya supaya, perjalanan perjuangan membentuk sebuah ketamadunan bangsa tidak kosong dan songsang dengan fitrah semulajadi manusia.

6. Untuk itu, kami bertegas bahawa Johor sememangnya tidak akan dibiarkan menjadi Pulau Pinang kedua. Yang tandus dengan nilai, identiti dan ketamadunan akibat amalan dan pendekatan Kerajaan Negeri pimpinan DAP yang kononnya liberal lagi menindas.

Di Johor, kami tak sanggup menjadi Pulau Pinang kedua dengan usaha-usaha berikut:-

a. Orang Melayu akan terus hidup dan kekal tinggal di bandar. Untuk itu, setiap permasalahan penempatan setinggan diselesaikan dengan pemberian geran dan hak milik tanah kepada penduduk yang layak. Ini tidak berlaku di Pulau Pinang apabila satu demi satu penempatan setinggan akhirnya diusir oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk dijayakan agenda pembangunan berorientasikan keuntungan.

b. Tidak cukup dengan itu, Kerajaan Negeri Johor sedang giat berusaha untuk memastikan rumah-rumah mampu milik terus terbina termasuk dalam kawasan bandar. Data terkini menunjukkan sejak 2013, Kerajaan Negeri Johor telah berjaya memastikan lebih 11,300 buah unit rumah mampu milik terbina di seluruh pelusuk negeri Johor, yang mana harganya pula dikawal melalui pelaksanaan dasar dengan harga maksimum RM150,000.

c. Rizab Melayu di Johor kini hampir mencecah 30% daripada keluasan keseluruhan negeri. Komitmen Kerajaan Negeri Johor untuk terus memelihara kepentingan orang Melayu dalam soal pegangan ekuiti hartanah di negeri ini.

d. Formula penyelesaian masalah setiap kaum di Johor pula pendekatannya tidak berasaskan konsep SAMA-RATA. Amalan yang diguna pakai adalah berasaskan ADIL DAN SAKSAMA. Bermakna, penyelesaian kepada permasalahan setiap kaum dinilai mengikut keperluan dan kepentingan setiap mereka. Bukannya one fits all solution semata-mata.

7. Samalah seperti di republik Singapura. Walaupun hak dan soal kepentingan orang Melayu tercatat dalam perlembagaan, namun ianya sekadar catatan tanpa sebarang makna kerana ianya tidak mampu diterjemahkan dalam bentuk dasar dan pelaksanaan untuk membela nasib orang Melayu di negara republik itu. Dan inilah yang sedang dan sebenarnya cuba dilakukan di Pulau Pinang.

8. Ternyata, sikap defensif pimpinan negeri dan pendekatan tidak mengaku salah DAP dalam kes dakwaan rasuah terbaru melibatkan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga merupakan satu cerminan kepada ketandusan nilai dan identiti yang menjadi amalan mereka di Pulau Pinang.

9. Suka saya tegaskan bahawa ianya ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus walhal di dalam perihal integriti Ketua Menteri dan Exco kesayangannya, kini berdepan dengan dakwaan kes rasuah dan salah guna kuasa dan kedudukan.

Hahasrin Hashim
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor.

Top