Ucapan Alu-Aluan MB Johor, YAB Datuk Seri Khaled Nordin, merangkap Ketua UMNO Bahagian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang 2017

FB_IMG_1501937021787

Para perwakilan yang di hormati.

Marilah kita mengambil kesempatan penting dan bersejarah ini, untuk mengalu-alukan kehadiran saudara Khairy Jamaludin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, ke Pasir Gudang.

Terima kasih kepada Saudara Khairy atas kesudian menerima undangan kami dan hadir pada hari ini.

Bagi kami di Pasir Gudang, Mesyuarat Perwakilan adalah agenda yang sangat penting. Ia bukan sekadar pelengkap takwim atau acara rutin yang tidak mempunyai kepentingan yang berat.

Ia bukan sekadar acara yang dianggap keterpaksaan demi mematuhi peruntukan Perlembagaan parti.

Tetapi, inilah medan kami menggembleng kekuatan dan memperbaharui semangat. Inilah medan kami bersuara, dan mengangkat pandangan akar umbi setempat.

Inilah pentas tempat kami menyeru semua ahli UMNO dan orang Melayu untuk mengerah keringat dan buah fikir, demi kebaikan parti dan bangsa.  

Inilah juga pentas dan medan yang kami jadikan ruang terbuka. Untuk kami bermuhasabah dan menilai kelemahan serta kekurangan diri dan parti. Agar, dengan bersikap terbuka sebegini, kami berupaya mencari jalan merawat apa-apa kekurangan yang ada.

Dan atas sebab itu jugalah, kami di Pasir Gudang, sangat memilih undangan kami. Kami tidak menjemput tokoh sembarangan untuk merasmikan mesyuarat UMNO di sini. Kami tahu menilai yang mana manikam, yang mana mutiara.

Dan pastinya kami berasa gembira dan berbahagia dengan kehadiran seorang pemimpin muda dalam parti kita. Kerana kami percaya, sebagai pemimpin pemuda, Saudara Khairy mampu mainkan peranan untuk menguatkan parti.

Sebab itulah, pada kami, ini bukan kehadiran biasa-biasa. Ia adalah penampilan yang mempunyai erti yang sangat istimewa.

Namun, saya yakin, saudara Khairy sendiri juga pasti sedar yang bukan ini satu-satunya alasan kami menjemput saudara ke sini. Sebaliknya, Pasir Gudang memilih untuk menjemput saudara, kerana kami mempunyai sebab yang jauh lebih penting.

Pertama, kami mengundang saudara, kerana kami mempunyai harapan yang besar pada saudara.

Kami merasakan saudara adalah harapan kami untuk UMNO yang lebih baik, untuk orang Melayu yang lebih progresif, dan pastinya untuk Malaysia yang lebih makmur sejahtera.

Kami melihat, saudara mempunyai kualiti besar untuk memimpin bangsa ini menjadi besar. Kami yakin, saudara mempunyai akal dan pemikiran maju, yang boleh memimpin orang Melayu menjadi bangsa maju.

Kami rasai, bahawa saudara punya pesona untuk mengajak lebih ramai lagi mereka di luar sana, terpesona untuk mendukung UMNO dan membawa perjalanan UMNO menjadi jauh lebih baik.

Dan kami tidak segan silu untuk menzahirkan secara terbuka harapan dan keyakinan ini. 

Kerana UMNO sememangnya memerlukan sentuhan baharu, dari pemimpin pelapisnya, jika ia ingin berkelangsungan dan kekal relevan.

Jadi, saudara adalah sebahagian dari harapan kami. Semoga harapan ini, dijadikan amanah yang bukan sekadar saudara kenang dan pegang. Tetapi benar-benar saudara ingat dan angkat. Dan kami mempunyai harapan dan keyakinan saudara mampu melakukannya.

Kedua, kami ingin memberikan isyarat yang sangat jelas bahawa kami di Pasir Gudang, sangat percaya kepada perubahan generasi atau ‘generational change’.

UMNO adalah parti yang sarat dengan bakat dan potensi. Jadi UMNO mesti membongkar segala potensi dan bakat ini, khususnya potensi dan bakat ‘the second echelon’ nya.

Kami sangat berkeyakinan bahawa, pemimpin muda harus ditonjolkan, dengan berani, dan digalaskan dengan harapan, amanah dan tanggungjawab yang besar.

Hanya dengan harapan, amanah dan tanggungjawab yang besar, pemimpin muda akan belajar dan membesar.

Hanya dengan harapan, amanah dan tanggungjawab yang besar, pemimpin muda akan menimba pengalaman dan pendedahan luar biasa.

Kesemua ini adalah ramuan wajib yang harus ditekuni oleh semua pemimpin, dan pastinya ditekuni oleh saudara.

Saya percaya, atas sebab itulah, keputusan untuk menggalas mandat mengelola dan menjayakan TN50 yang saudara pikul sekarang ini adalah tindakan yang tepat.

Ia adalah amanah besar negara. Dan saudara harus menggunakan kesempatan ini untuk mempamerkan kebolehan dan menggalas amanah tersebut dengan bertanggungjawab, cekap dan berjaya.

Saudara Khairy, tuan-tuan dan puan-puan,

Sejak UMNO wujud di Pasir Gudang, kami tidak pernah mengamalkan budaya ikut-ikutan. Budaya kami bukan sorak-menyorak. Dan pastinya bukan ampu-mengampu.

Kami orang perjuangan yang sangat kasih pada parti ini. Dan kami kasihkan parti ini bukan kerana terpaksa atau kerana kami tidak punya pilihan. Tetapi atas keyakinan pada sebuah perjuangan yang benar.

Atas sebab itulah, kami tidak terikut dengan pemimpin dari negeri kami yang melompat ke gelanggang lain. Malah, kami bersedia untuk bersemuka dan melawan mereka habis-habisan.

Bukan kerana kami tidak mengenang jasa. Jauh sekali kerana kami sukakan permusuhan.

Tetapi, kerana kami adalah pendukung parti yang percaya, UMNO adalah gerakan tajdid (pembaharuan) untuk bangsa Melayu. Ia adalah gerakan amal dan bakti. Ia adalah gerakan pencerahan. Ia adalah gerakan kesederhanaan. Ia adalah penghubung paling telus antara kami dengan mereka para pendiri bangsa yang telah pergi.

Sepanjang kewujudannya, UMNO adalah pemecah kebuntuan orang Melayu. UMNO adalah penghapus kedaifan orang Melayu. UMNO adalah pelebur kekusutan orang Melayu.

Bertitik tolak dari kepercayaan dan pegangan inilah, kami juga sangat bertanggungjawab untuk memaparkan rencana dan impian kami untuk bangsa Melayu. Dan ini termasuklah, mempersembahkan kepada orang Melayu, sosok yang bagaimanakah yang kami rasa boleh memimpin bangsa Melayu pada hari muka.

Sosok yang kami rasakan mempunyai kualiti, pemikiran dan kemampuan, selari dengan kederasan perubahan yang dialami bangsa Melayu dan Malaysia pasca moden.

Sosok yang kami boleh tinggalkan kepadanya parti ini, untuk dijaga dengan baik, saat kami semua sudah pergi kelak.

Kami sangat insaf, perjuangan dalam UMNO ini, bukan tentang prestij. Bukan tentang pingat dan pangkat. UMNO bukan tentang jawatan, dan bukan juga halnya tentang gelaran, martabat dan upacara.

Tetapi perjuangan ini adalah khidmat pada watan. Khidmat pada bangsa. Khidmat pada agama dan negara.

Ia adalah tentang kecintaan pada tanggungjawab dan kemahuan memberikan yang terbaik kepada anak bangsa.

Dan ia adalah satu seruan, yang jika dilunaskan dengan amanah dan ikhlas, akan menjadi ibadah yang dipandang oleh Allah.

Saudara Khairy,

Kami sedar perjalanan saudara masih panjang. Dan kami mahu sekali melihat saudara berjaya.

Maka, atas dasar itu, saya mohon izin untuk menitipkan beberapa pesanan untuk saudara, kepada rakan-rakan seangkatan saudara, dan kepada semua anak muda Melayu dalam UMNO.

Pesanan dari Pasir Gudang, yang kami harap saudara dan semua pemuda akan ingat seumur masa. Pesan yang kami berikan kerana kami percaya, asas beragama itu adalah saling memperingatkan dan berpesan-pesan ke arah kebaikan.

Pertama, perjalanan perjuangan orang muda dalam UMNO, tidak lagi akan disimbahi sinar mentari terang atau cahaya bulan purnama.

Zaman ini, zaman pancaroba. Dan pancarobanya sangat menguji dan luar biasa.  

Bagi pendiri bangsa yang mendahului kita, perjuangan mereka mungkin mengusir penjajah.

Perjuangan sekarang sudah lain. Ia lebih rumit, lebih sulit. Kerana musuh yang kita lawan, bukan lagi penjajah yang jelas sosok, niat dan rupanya.

Tetapi, hari ini kita melawan bangsa kita sendiri, dan segala kekurangan yang ada padanya.

Melawan kealpaan. Melawan sikap dan pemikiran yang tidak berkemajuan. Melawan sikap dingin dan penolakan mereka pada perjuangan kita.

Benar, bukanlah perkara yang mudah untuk mengajak mereka bersama kita, mengajak mereka mendukung kita, mengajak mereka membangunkan parti ini. Ini adalah satu pekerjaan yang sangat sukar.

Tapi inilah yang harus dilakukan. Kita tidak punya pilihan. Saudara harus mengembalikan ‘the sentimental connection’ golongan millennial Melayu kepada terhadap UMNO.

Saudara mesti meyakinkan mereka bahawa UMNO masih lagi wadah politik terbaik untuk mereka memberikan sumbangsih pada bangsa dan negara.

Saudara mesti membuktikan, UMNO ini boleh terus berketahanan untuk mendepani segala desakan dan fananya dunia politik pasca moden yang sedang menyaksikan apa yang saya panggil “kebangkitan gelora ‘illiberalism’.

Saya mengerti, besar benar beban perjuangan ini pada saudara.

Tetapi, saudara harus faham. Tindakan kami menggalaskan tugas dan tanggungjawab yang besar ini kepada saudara, sebetulnya satu penghormatan.

Kami tidak akan mempertaruhkan nasib bangsa kepada mereka yang kami rasakan tidak mampu.

Kami sedar saudara punya semangat rajawali di angkasa dan bukannya sekadar pipit di rimba.

Kami yakin, saudara akan ikhlas dan gigih mencari jalan penyelesaian untuk parti. Dan kami yakin, malah kami mendoakan, yang saudara akan menemui jalan baru untuk UMNO, insya-Allah.

Kedua, saudara dan rakan-rakan dalam pergerakan Pemuda, mesti menyimpan cita-cita setinggi bintang di langit.

Saudara Khairy, tanpa cita-cita, hidup adalah sekadar hidup. Tetapi tidak akan ada kehidupan.

Jadi, sebagai orang muda, sebagai pemimpin muda, tanamlah azam dan cita-cita yang besar. Jangan biarkan keremajaan dan jiwa muda kalian disumbingkan oleh cita-cita yang kecil dan rendah.

Dan ini jugalah pesan penyair Amerika, Ralph Waldo Emerson.

Jadi, sejujurnya, jika saudara ingin memimpin parti dan bangsa ini, saudara mesti mengajak para pemuda kita membangunkan cita-cita yang besar untuk parti dan bangsa ini. Untuk perjuangan ini.

Perjuangan orang muda dalam parti ini bukan sekadar mencari tukang sorak dan penghayun bendera yang berbayar. Ia lebih dari itu.

Terutamanya cita-cita politik dan sosial yang mulia, yang menjadi enjin penggerak kemajuan bangsa.

UMNO memerlukan cita-cita baru yang lebih luar biasa. Bukan sekadar slogan dan laungan ‘Hidup Melayu’. UMNO memerlukan jalan baru, yang menjangkaui perjuangan hak dan kepentingan Melayu.

Kerana itulah, pemimpin masa depan Melayu mesti mempunyai cita-cita besar. Impian besar. Dan ilham luar biasa.

Cita-cita dan ilham besar akan mengajak kita memperindah martabat manusia, memuliakannya, mendekatkan pada kesempurnaan. Cita-cita yang besar akan membuatkan seseorang itu menjadi orang yang besar jiwa dan karakternya.

Cita-cita besar, pada saya, bak gelombang laut yang dahsyat.

Tidak ada seorang pun mampu menghentikannya. Sekalipun dipasang jerejak dan halangan, tetapi perlahan-lahan semua itu akan terhakis oleh badai yang tidak jemu menghempas pantai. Akhirnya, sekuat mana pun tebing, ia akan roboh.

Cita-cita besar tidak dapat dipenjarakan. Ia ada di dalam hati. Ia sentiasa hidup dan berlegar-legar dalam kotak pemikiran. Tidak ada manusia yang boleh memenjarakan cita-cita yang besar.

Sejarah mengajar kita. Biarpun tubuh kita terkurung di sebalik tirai besi, cita-cita yang besar tidak akan pernah mati.

Jadi Saudara Khairy, pasanglah cita-cita yang besar untuk bangsa kita. Sebesar dan setinggi bintang di langit .

Cuma ingatlah, dalam keasyikan membidik bintang di langit tinggi, jangan sesekali kalian lupa pula pada rumput di bumi.

Ketiga, saatnya telah tiba untuk saudara memberikan kepimpinan. Bukan lagi sekadar kepada orang muda tetapi juga kepada parti dan bangsa.

Pimpinlah bangsa ini. Pimpinlah parti ini. Dengan sebenar-benar kepimpinan.

Cari dan beri pencerahan. Tunjukkan kecerdasan baharu. Jadilah pemimpin yang mengemukakan kecerdasan pada bangsa dan memberikan jalan keluar pada segala masalah nasional.

Jadilah pemimpin yang berkarya, bukan yang bersiulan sahaja.

Jadilah pemimpin yang benar. Penyambung lidah rakyat Malaysia. 

Jadilah pemimpin untuk semua, bukan hanya untuk UMNO.

Kerana negara ini adalah negara “semua buat semua”. Bukan negara untuk satu orang. Bukan negara untuk satu golongan. Bukan negara untuk satu bangsa.

Ingat, Malaysia adalah negara “semua untuk semua”.

Akhir sekali, pesanan saya dan rakan-rakan di Pasir Gudang, janganlah saudara lupa pada anak bangsa kita yang tertinggal. Jangan abaikan mereka. Jangan berlaku zalim pada mereka. Menjadi tanggungjawab kita untuk memimpin tangan anak bangsa yang tertinggal. 

Jadi, sebagai pemimpin muda, lihatlah perkara ini. Jadikan ini sebagai landasan perjuangan saudara dalam UMNO.

UMNO yang memastikan semua orang mendapat peluang.

UMNO yang bekerjasama dengan semua pihak dan meyakinkan semua orang, bahawa, biar apa pun keturunan, apa pun daerah kelahiran, siapa pun yang membesarkan mereka, dan apa pun pendidikan ayah dan ibu mereka, UMNO akan menyediakan peluang untuk kehidupan yang bermaruah.

UMNO yang akan mendekati mereka yang tertinggal dan bersama-sama menggembleng segala kekuatan, bagi mencipta masa depan yang baik untuk semua.

Agar dengan semua ini, UMNO akan menjadi lebih baik. Dan apabila UMNO menjadi lebih baik, bangsa kita akan menjadi lebih baik.

Saudara, jangan biar agama kita diumpat. Jangan biar bangsa kita merempat.

Ingatlah, jika saudara tidak melupakan mereka yang tertinggal, mereka juga tidak akan melupakan saudara. Jika UMNO terus menyantuni mereka yang tertinggal, maka yang tertinggal itu, pasti tidak akan meninggalkan UMNO.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya ingin mengambil kesempatan ini menyeru semua perwakilan. Gunakanlah kesempatan beberapa bulan yang masih berbaki sebelum PRU-14, untuk menunjukkan kasih kita pada parti dan orang Melayu.

Marilah bekerja seikhlas-ikhlasnya.

Marilah kita menggandakan usaha dengan memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat. Agar mereka terus yakin bahawa kita tidak berkhidmat semata-mata kerana pilihanraya atau kuasa. Tetapi kerana inilah yang menjadi agenda dan asbab gerakan kita.

Dan berikanlah seluruh jiwa dan raga dalam mempertahankan UMNO di Johor dan Malaysia sebagai parti pemerintah. Parti inilah satu-satunya yang kita ada untuk memperjuangkan kepentingan politik orang Melayu.

Sebelum berakhir, saya sekali lagi mewakili seluruh warga Pasir Gudang ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian Saudara Khairy Jamaludin untuk hadir pada hari ini. Kami amat menghargainya

Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat maju jaya dalam acara Polo di Sukan SEA yang akan datang. Semoga saudara dan pasukan akan menyumbang dan membawa balik pingat untuk negara kita.

Biar apa pun keputusannya, kami pastinya berbangga dengan pencapaian tersebut.

Cuma, sejujurnya, pingat kemenangan sebenar bagi kami dan seluruh anak bangsa kita, adalah menyaksikan kebangkitan dan kebingkasan seorang pemimpin muda, yang akan memberi sinar baharu kepada parti, kepada orang Melayu, kepada Malaysia, insyaAllah.

Terima kasih.

Top