238 NELAYAN JOHOR SELATAN TERIMA DUIT RAYA

PASIR GUDANG, 11 Jun – Kerajaan Negeri bersama Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sedang merancang bagi menjadikan Mersing sebagai hab perikanan di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata hab itu akan membolehkan semua hasil tangkapan ikan dibawa ke Endau, Mersing, termasuk membangunkan industri berasaskan ikan.

“Kita sedang rangka perkara ini kerana kita mahu membangunkan sektor perikanan di Johor sebagai satu sektor yang baik, lumayan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di Johor.

“Kita perlu membangunkan masyarakat yang terlibat dalam perikanan supaya dapat memanfaatkan lautan yang luas di sekeliling Johor,” katanya pada sidang media selepas Majlis Bayaran Saguhati Nelayan Johor Selatan di Dewan Serbaguna Taman Mawar di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Ismail Mohamed; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abd Samad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Hasrin Kamal Hashim.

Pada majlis itu, seramai 238 nelayan di Pasir Gudang menerima pembayaran saguhati sebanyak RM2,000 setiap seorang.

Kerajaan Negeri akan memberi bayaran saguhati kepada 1,834 nelayan, termasuk penternak kupang dan ikan sangkar membabitkan peruntukan sebanyak RM3.668 juta pada tahun ini.

Menurut Mohamed Khaled, sektor perikanan negara, khasnya di Johor perlu dikaji supaya ia dapat dibangunkan bagi menaik taraf golongan nelayan dalam usaha membasmi kemiskinan, serta bertujuan mengelak dieksploitasi oleh nelayan asing.

“Hari ini, kita dapati memang banyak pencerobohan (perairan) oleh nelayan Vietnam. Saya terima aduan daripada nelayan di Mersing bahawa mereka selalu bertembung dengan nelayan Vietnam dan sebagainya,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, nelayan disarankan agar mempunyai persatuan atau koperasi setempat bagi mewujudkan pasar ikan untuk memperoleh hasil yang lebih lumayan.

“Koperasi juga perlu menggalakkan anak mereka yang berjaya bagaimana mahu mengeluarkan nelayan daripada masalah dan cabaran yang dihadapi, termasuk kemiskinan,” katanya sambil menjelaskan terdapat kira-kira 8,000 nelayan yang hidup dalam keadaan kesusahan di Johor.

Beliau berkata, sektor perikanan perlu diberi perhatian memandangkan rantau ini mempunyai kira-kira 600 juta populasi yang memerlukan hasil laut.

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top