Johor Bakal Perkenal Projek Ekonomi Rakyat

WhatsApp Image 2017-05-21 at 21.23.48

PASIR GUDANG, 21 Mei – Kerajaan Johor bakal memperkenalkan sebuah Projek Ekonomi Rakyat yang akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan penyertaan masyarakat dalam kegiatan ekonomi.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata menerusi projek itu, golongan yang kurang bernasib baik akan diberi perhatian.

“Akan datang kita akan beri fokus dan perhatian dalam usaha kita meningkatkan penyertaan masyarakat dalam kegiatan ekonomi.

“Ketika ini kita sedang lakukan beberapa projek eksperimen dengan pihak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), yang mana mereka yang tidak bernasib baik ini kita tidak mahu hadkan mereka dengan hanya memberi bantuan, tetapi kita mahu mengupayakan mereka dengan cara melibatkan mereka dengan projek-projek ekonomi,” katanya.

Tambah beliau, beberapa projek telah dikenal pasti antaranya ialah tanaman cili fertigasi, tanaman cendawan tiram kelabu, perusahaan madu kelulut dan penghasilan ais krim.

Menurut Mohamed Khaled, projek tersebut akan mula dilaksanakan di kawasan Parlimen Pasir Gudang dan sekiranya berjaya ia akan diperluaskan ke kawasan lain.

“Ini akan menjadi pilot projek dan jika berjaya ia akan diperluaskan ke kawasan-kawasan parlimen yang lain melalui peruntukan Kerajaan Negeri bermula tahun hadapan. Kita namakan ia sebagai Projek Ekonomi Rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatan kerjanya ke Parlimen Pasir Gudang di Dataran Permas, Bandar Baru Permas Jaya, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut mengalu-alukan pendekatan yang diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Parlimen Pasir Gudang yang banyak menyediakan pusat perniagaan atau tempat yang membolehkan masyarakat terlibat secara langsung dengan aktiviti keusahawanan.

Ia seperti menaik taraf Pasar Awam Masai, menaik taraf Semai Niaga Taman Cendana, membina Medan Selera Taman Rekreasi Sungai Buloh dan sebagainya.

“Saya berharap usaha seperti ini dapat diteruskan bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik. Selain pembangunan projek infrastuktur, kita juga perlu memberi perhatian membantu menjayakan mereka dengan pelbagai peluang yang ada,” tambahnya.

Top