30 UNIT KILANG IKS BAKAL DIBINA DI KG PASIR GUDANG BARU

20170505_210439

PASIR GUDANG, 6 Mei – Kerajaan Johor mengumumkan akan melaksanakan dua projek usahawan bagi merancakkan budaya keusahawanan dalam kalangan golongan belia di negeri ini.

Dua projek itu ialah pembinaan 30 unit kilang industri kecil dan sederhana (IKS) seluas 1.86 hektar dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM25 juta daripada Kementerian Kewangan di Kampung Pasir Gudang Baru, di sini, manakala projek Persada Annex pula menawarkan lebih 200 ruang niaga, khusus untuk Bumiputera di Johor Bahru.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata bagi kilang IKS itu, Johor Corporation (JCorp) telah diamanahkan untuk membangunkannya di bawah Pelan Pelancaran 2 dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Beliau berkata, ia akan disewakan kepada pengusaha Bumiputera di negeri ini apabila ia siap kelak.

“Kita bercadang untuk mengadakan majlis pecah tanah di hadapan Kampung Pasir Gudang Baru, yang dijadualkan pada Jun ini.

“Mengikut pelan dan perancangan kita, program ini akan disiapkan pada pertengahan tahun depan,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Program Gerak Usahawan Peringkat Negeri Johor 2017 sempena Minggu PKS di Johor Circuit Pasir Gudang di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Ismail Mohamed; Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Noraini Ahmad.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Datuk Dr Hafsah Hashim; Pengarah Eksekutif Pusat Pembangunan Usahawan (EDC) Johor, Hahasrin Hashim dan Pegawai Daerah Johor Bahru, Muhamad Fuad Radzuan.

Mengenai projek Persada Annex, Mohamed Khaled berkata, pihaknya akan mengadakan majlis pecah tanah pada 16 Mei ini, di sebelah bangunan Persada dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM43 juta daripada JCorp.

Dalam pada itu, beliau menyarankan EDC mengkaji semula fungsi dan peranannya bagi menggerakkan dan membudayakan keusahawanan, selain menggesa masyarakat membetulkan beberapa tanggapan salah terhadap dunia keusahawanan.

Top