Kos Tuisyen e-Learning Percuma Jika Pelajar Peroleh 4A

Screenshot_20170429-145326

PASIR GUDANG, 29 April – Kos pembelajaran pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengikuti tuisyen atas talian di bawah Program Pembelajaran e-Learning Johor dalam kawasan parlimen di sini, akan ditanggung sepenuhnya, jika berjaya memperoleh semua A dalam empat subjek yang diambil.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pasir Gudang menyediakan 1,400 peluang daripada 5,400 tempat di seluruh negeri kepada pelajar di Pasir Gudang.

“Jika sesiapa yang berjaya mendapat 4A dalam empat subjek ini, saya akan membayar kejayaan mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ke-32 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 1 di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Mohamed Khaled melancarkan Program Pembelajaran e-Learning Johor serendah RM11.60 untuk pelajar SPM, yang akan bermula pada bulan depan.

Ia bagi memastikan setiap pelajar di negeri ini berpeluang menerima akses pendidikan yang berkualiti.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, negara ini perlu berjaya melahirkan modal insan dan bakat kerana negara memang memerlukan kekuatan untuk berhadapan dengan persaingan.

“Berapa modal insan yang kita ada? Jika kita lihat di China, negara ini melahirkan hampir 10 juta modal insan dalam setahun,” katanya.

“Melahirkan modal insan tidak semestinya hanya menumpukan kepada ilmu saja, tetapi juga kemahiran dan perlu keseimbangan yang betul,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, walaupun pembangunan akan terus berjalan, tetapi negara ini mesti mempunyai ilmu untuk mengecapi dan meraih manfaatnya.

“Jika tiada ilmu, dia akan tercicir. Pra-syarat untuk mengecapi pembangunan sedia ada dan sedang berlaku yang kita tidak boleh elak ialah setiap rakyat perlu menguasai ilmu kemahiran.

“Inilah masa seseorang mesti ada nilai dan sikap, maknanya dia suka ilmu dan mengejar ilmu sepanjang hayat,” katanya.

Top