MAHDZIR IBRAHIM – KELDAI TAMBATAN DAP

C7nxLIOVsAAtT3S

Dalam sebuah portal, baru-baru ini telah bermadahlah Mahdzir Ibrahim, seorang hamba DAP yang cuba menyakinkan rakyat Johor bahawa segala usaha giat yang sedang dilakukan oleh YAB Menteri Besar Johor sebenarnya adalah merupakan gimik politik. Ianya bukanlah dari sikap keperihatinan beliau yang sedang menjalankan tugasnya sebagai seorang ketua kerajaan negeri kepada rakyatnya.

Antara dakwaan yang Mahdzir nyatakan adalah pertama, lawatan YAB Dato’ Khaled sebagai Menteri Besar ke seluruh Parlimen dalam Negeri Johor. Maklumat yang dinyatakan bahawa ada baki 5 kawasan Parlimen yang masih belum dilawati oleh YAB MBJ. Syabas saya ucapkan kepada Mahdzir. Dari apa yang saya faham, Mahdzir sebenarnya ingin menujukan kepada Azmin dan Lim Guang Eng yang pada hemat saya mereka sepatutnya melakukan perkara yang serupa. Saya yakin akibat diresapi sikap irihati, geram dan cemburu yang teramat sangat (kalau orang muda sekarang kata tahap gaban), maka kekecewaan Mahdzir telah diluahkan kepada YAB MBJ. Ini sememangnya jelas bahawa bilamana hati seseorang itu telah hitam, apatah lagi jika hati itu semakin bernanah, maka setiap yang baik akan dilihat buruk, yang putih akan nampak legam. Nasihat saya, bacalah Al-Quran banyak-banyak dan duduk lebih sikit di atas tikar sembahyang terutamanya lepas subuh dan sesekali buatlah tahajud. Saya bukan doktor, tetapi itulah ubat terapi yang terbaik untuk hati orang-orang seperti saudara Mahdzir.

Kalau MBJ duduk di pejabat dan tidak melawat, akan dikatakan MBJ tidak prihatin. Jika MBJ turun padang, melakukan lawatan kerja meninjau kemajuan perancangan projek-projek kerajaan, maka melalaklah manusia seperti Mahdzir mengatakan bahawa ini semua adalah gimik politik, tiada perkara baru tidak lain tidak bukan sekadar menagih simpati rakyat. Ya Mahdzir, MBJ sebenarnya tak perlu nak lakukan perkara turun padang. Ramai pegawai kerajaan negeri dari pelbagai jabatan boleh lakukan bagi pihak MBJ. Itu tidak saya nafikan. Tetapi saya amat bersyukur kerana orang-orang seperti saudara telah melihat dan dalam diam mengikuti setiap langkah MBJ dalam memahami denyutan nadi dan sanubari rakyat Johor. Nampaklah sangat DAP khasnya, PKR umumnya tidak mampu melakukan perkara seumpama ini. Betulkan? Saya dapat maklumat, kerajaan DAP di Penang dan PKR di Selangor sekadar memantau dari akhbar-akhbar khas keluaran kerajaan negeri mereka sahaja. Hanyasanya jika ada anak dara yang jual nasi lemak dan tidak ada lessen berniaga, di saman PBT, maka akan turunlah MBS si Azmin. Di Penang pula, jika setelah tangisan ADUNnya diviralkan, maka akan turunlah KM nya si Lim. Nampak tak perbezaannya? Dalam Bahasa Inggeris Mahdzir, apa yang dilakukan oleh YAB MBJ dipanggil ‘personal touch’ dan dalam bidang pengurusan dinamakan ‘walk the talk’, bukan macam DAP dan PKR, ikut apa yang orang sekarang kata, NATO; yang membawa maksud ‘No Action, Talk Only’.

Di dalam portal tersebut, Mahdzir jelas menyatakan bahawa sebagai seorang ketua kerajaan, YAB MBJ perlulah, bilamana melawat kawasan membuat pengumuman perubahan, reformasi dan sebagainya. Untuk makluman Mahdzir, kami kerajaan UMNO/BN tidak menggunakan teknik reformasi, kami guna transformasi. Ada bezanya Mahdzir. Kalau nak faham, bolehlah Mahdzir tengok cerita kartun ‘Transformer’ dan bandingkan dengan aktiviti reformasi yang PKR dan DAP praktikkan. Jika Mahdzir tidak faham dan gagal memahami, maka betullah seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran bahawa memang Mahdzir bukan sahaja buta mata tetapi sememangnya sudah buta hati. Nampak sangat Mahdzir tak membaca dan mengamati belanjawan kerajaan negeri yang telah dibentangkan. Segala-galanya telah tercatat secara hitam putih. Dalam bahasa undang-undang kita namakan ‘legal document’. Maka sebagai seorang Ketua yang bertanggungjawab, adalah menjadi kebanggaan kami mendapai seorang Menteri Besar yang prihatin untuk turun melihat sendiri akan setiap perancangan yang telah dilakukan agar ianya terlaksana, dan juga memastikan bahawa pegawai-pegawai yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri, PBT khasnya telah melaksanakan tugas mereka sebaik mungkin. Kami juga berbangga mendapat seorang Ketua Kerajaan yang tidak hanya mahu membaca laporan yang diterima daripada pegawai-pegawainya, malah melihat sendiri dan memastikan bahawa apa yang dilaporkan oleh mereka selari dengan apa yang beliau sendiri lihat. Di samping mendengar keluhan dari rakyat dan juga masyarakat setempat agar bajet pada tahun yang akan datang dapat dipohon. Itu perancangan atau ‘planning’ namanya Mahdzir. Kalau DAP di Penang tidak melakukan, bolehlah datang ke Johor dan YAB MBJ kami boleh tolong ajarkan. Seperkara lagi Mahdzir, saya dah kenal lama dengan YAB MBJ ini. Dato’ Khaled untuk makluman Mahdzir, tidak suka membuat janji. Namun beliau akan ambil kira dan menimbang setiap pekara dari pelbagai sudut sebelum melaksanakannya.

Mahdzir juga amat “keen” menyoalkan persoalan kecekapan dan integriti. Maaflah Mahdzir, saya rasa saudara bukan orang yang sepatutnya mempersoalkan dua perkara tersebut di sini. Umum mengetahui bahawa DAP adalah parti yang paling korup (kata bekas Naib Presiden DAP, Tunku Aziz) serta tidak mempunyai integriti langsung. Oleh yang demikian, saya harap saudara buatlah kerja rumah dan saya cadangkan agar saudara berilah latihan dan kursus untuk pemimpin-pemimpin DAP tentang soal integriti dan kecekapan. Mahdzir lupa rasanya slogan ‘CAT’ yang dihamparkan kepada rakyat Penang apabila DAP dapat memerintah Penang. Apa dah jadi? CAT mana pergi? Rasuah semakin berleluasa. Mereka yang jelas melakukan terus bebas dan lebih malang lagi ketua! Ya, ketua Mahdzir pun turut terpalit! Tidak cukup dengan itu, ketua saudara bukan sahaja tidak mahu mengaku salah, malah menggunakan Parlimen, institusi sumber perundangan negara untuk menghalalkan perbuatan ketua DAP yang saudara sanjungi itu. Kalau tak faham apa yang saya katakan, Mahdzir boleh pergi pasar dan belilah ikan yang kepalanya sudah busuk, selepas beli bawalah pulang dan suruh isteri saudara (jika dah berkahwinlah; tak boleh ikut jejak Zairil) masak dan berilah anak-anak Mahdzir makan. Cuba tenguk apa reaksi mereka.

Sebagai manusia, saya faham YAB MBJ ada kelemahan, tetapi Mahdzir, setakat yang kami rakyat bangsa Johor lihat, belum ada lagi kerajaan di bawah YAB Dato’ Khaled menghabiskan wang rakyat beratus juta membuat kajian seperti projek terowong dan laluan basikal di sekitar bandaraya Johor. Tak malu ker Mahdzir atau sudah tiada lagi kemaluan? Sememangnya hati Mahdzir sudah hitam dan bernanah rupanya. Sungguh amat saya kasihan dengan keadaan Mahdzir. Betulah kata orang, DAP sememangnya tidak berani menyoalkan perkara ini sebab mereka amat malu kerana ketua mereka penuh dengan kepalsuan serta terlibat dengan pelbagai skandal. Makanya mereka menggunakan orang bangsa Melayu dan spesis seperti Mahdzir untuk mencari kesalahan ketua parti lain. Isu bas percuma yang disediakan. Pada saya tidak perlulah nak dipersoalkan samada MBJ ikut Penang atau Selangor. Namun jika tak salah saya, Johor yang mulakan dahulu. Tapi tak mengapalah, saya tidak mempunyai hati seperti Mahdzir. Bagi saya apa yang baik dari mana ia datang, itu tidak penting. Jika ianya dapat membantu, apa salahnya? Persoalan yang Mahdzir utarakan adalah persoalan ‘route’ ataupun laluan bas tersebut. Untuk makluman Mahdzir, YAB MBJ sememangnya memilih laluan tersebut kerana kajian awal yang dilakukan oleh pihak UTM serta mengambil kira pandangan daripada PBT merupakan laluan yang sering digunakan oleh penduduk sekitar bandar Johor Bahru, manakala mereka yang berada di luar boleh menggunakan bas berbayar yang akan melalui jalan yang bertembung di antara kedua-kedua perkhidmatan bas di Johor. Satu lagi Mahdzir, konsep bas percuma untuk laluan di bandaraya dah lama dilaksanakan di bandaraya Perth dan Melbourne di Australia. Jadi, tidak timbul isu ikut Penang atau Selangor sebab mereka pun ikut Australia kan? Malunya saya bila Mahdzir sebenarnya tidak membaca dan melawat negara Australia. Pergilah tengok kalau tidak percaya. Boleh naik Air Asia; harganya pun murah. Kalau nak lagi murah bolehlah naik Air Penang atau Air Selangor. Takkanlah abg Lim dan Azmin tak boleh taja? Apa yang jelas, perkhidmatan bas Muafakat Johor yang digunakan adalah bas yang terbaik dan perkhidmatannya setakat ini memuaskan dan masih berjalan dengan lancar dan tidak rosak macam di Selangor, ya tak? Saya dimaklumkan juga tentang hal tersebut.

Akhir sekali, saya nasihatkan Mahdzir, suruhlah abang Lim dan Azmin dari Penang dan Selangor ikut cara YAB Dato’ Khaled, MBJ. ‘Walk the talk’. Yang terlibat rasuah tu, turun dan lepaskanlah jawatan, dakwa dan hukum! Jangan bagi alasan. Kami di Johor dah buktikan. Walaupun kami sedih dan kecewa, namun kami tetap mengikut dan memperlopori kedaulatan undang-undang. Kami tidak simpan, sorok dan memberi pelbagai alasan. Moto kami, “siapa suruh buat. Jika buat, tangkap”. Bak kata orang sekarang, “sendiri mau ingat’. Untuk makluman Mahdzir, tarikh 20 April tercatat satu lagi sejarah kerajaan pimpinan YAB Dato’ Khaled Nordin yang telah mengadakan upacara ikrar lafaz sumpah bebas rasuah. Kalau ini pun Mahdzir masih mengatakan gimik, maka saya dah tak tahu apa jenis manusia yang bernama Mahdzir Ibrahim ini? Cuma saya belum nampak lagi setakat ini kepimpinan kerajaan DAP Penang dan PKR Selangor buat upacara ini. Rasanya mereka tidak buat sebab mereka sebenarnya tahu bahawa merekalah pendokong dan perasuah yang terbesar. Tak begitu Mahdzir?

Buat Mahdzir Ibrahim, jika nak menegur, kami terima, malah kami khasnya YAB MBJ sedia mendengar teguran. Namun jika nak mengutuk dan mencari kesalahan sahaja, nasihat saya Mahdzir pergilah bantu, ajar dan latih pemimpin DAP dulu. Jangan jadi ketam, suruh anak berjalan betul, tapi dia sendiri jalan tak betul. Saya cabar Mahdzir Ibrahim untuk menyatakan perkara yang sama kepada kepimpinan DAP Penang dan PKRSelangor. Jadilah anak jantan dan bukan pondan. Nak baling batu balinglah dengan nyata, secara berani. Bukan baling batu sembunyi tangan. Saya pasti Mahdzir tidak mempunyai keberanian dan kekuatan untuk menegur kerajaan DAP Penang khas sebab yang telah saya nyatakan bahawa kerajaan DAP Penang di bawah kepimpinan dan penguasaan ayah dan abg Lim tidak akan menerima teguran Mahdzir. Mahdzir pada DAP, tidak lain hanyalah melukut ditepi gantang. Malah, saya yakin jika Mahdzir tegur, bukan kritik, saya amat yakin Mahdzir akan dipecat dan akan kehilangan jawatan Biro Pendidikan atau lebih tepat Biro Pembodekan DAP yang Mahdzir pegang sekarang. Itulah hakikat yang sebenarnya, bukan begitu Mahdzir? Nasihat saya kepada Mahdzir, hidup kita ni biarlah jadi orang yang berguna. Setidak-tidaknya janganlah jadi langau tapi jadilah garam. Kalau hidup tidak dapat menabur bakti, janganlah nak menabur fitnah. Rakyat bukan sebodoh dan berfikiran sepertimu Mahdzir. Mereka dah bijak dan sudah pandai menilai. In shaa Allah, PRU ke 14 yang bakal tiba nanti, Barisan Nasional/UMNO akan menang besar dan meneruskan tradisi mereka membela rakyat dengan ertikata yang sebenarnya.

ALLAH PERLIHARAKAN SULTAN
ALLAH SELAMATKAN NEGERI JOHOR
RAKYAT JOHOR BERSAMA YAB DATO’ KHALED NORDIN

Azman Bin Ja’afar
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO
Bahagian Pasir Gudang

Top