BANTU KELUARGA FARAH MARCELLA DAPAT RUMAH

IMG-20170321-WA0009

Pejabat Parlimen Pasir Gudang tampil membantu keluarga pelajar daif yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Farah Marcella Bandie dengan mencari dan mendapatkan kediaman selesa untuk mereka.

Pegawai Parlimen Pasir Gudang, Syeb Dzulfakar Shukor, berkata, satu pertemuan sudah diadakan pihaknya dengan semua ahli keluarga Farah Marcella petang tadi, bagi membincangkan perkara berkenaan.

Katanya, turut hadir wakil Yayasan Bandaraya Johor Bahru (YBJB), pihak pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang.

“Parlimen Pasir Gudang sedang cuba mencarikan kediaman sesuai, sama ada di Taman Kota Puteri sendiri atau di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Taman Cendana di sini, bagi mereka berpindah dan menjalani kehidupan dalam persekitaran lebih selesa.

“Bagaimanapun, kami perlu mendapatkan persetujuan dan kepastian daripada ibu Farah Marcella sama ada mereka mahu berpindah atau tidak sebelum proses permohonan kediaman dibuat,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Syeb Dzulfakar berkata, pihak PPD Pasir Gudang juga bersetuju menempatkan adik Farah Marcella iaitu Sephian Najmie, 16, di SMK Nusa Damai kerana sekolah berkenaan memiliki kemudahan asrama.

“SK Kota Puteri dan PPD Pasir Gudang juga bersetuju menempatkan dua lagi adik Farah Marcella iaitu Puteri Emily Nastasia, 10, dan Aduka Alliff Putra, 12, di SK Seri Kota Puteri bagi mereka meneruskan persekolahan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Asiah Md Ariff, berkata pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri untuk ke lokasi keluarga berkenaan menginap esok, bagi mendapatkan maklumat lanjut. -Berita Harian.

Top