Warga Asing Di Johor Akan Diberi Kerakyatan?

IMG-20150920-WA0026

Kestabilan politik di Malaysia kini sedang memasuki era yang sungguh mencabar. Ianya jelas dengan sikap ketidak puashati yang merupakan agenda peribadi Tun Mahathir terhadap kepimpinan DS Najib. Harapan Tun M bahawa DS Najib akan tersungkur sebelum akhir tahun lepas terus menghantui Tun serta para kroninya. Sewaktu Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas, DS Najib telah menyatakan secara terbuka fasa peperangan beliau dengan Tun M dengan kata-kata hikmatnya.. “no retreat, no surrender”.

f5e8e8ce-588f-4dce-a9d4-d6dad95fef39Jelasnya, DS Najib akan terus kekal sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia! Kehadiran Tun ke Perhimpunan Agung adalah diharap agar DS Najib akan berlembut hati serta mengakui kesilapannya di samping memberi gambaran untuk berundur meleset sekali. Tun M agak terkedu apabila DS Najib dengan tegas di hadapan Tun M serta hulubalang-hulubalangnya menyatakan bahawa “I am here to stay. I will lead and let UMNO members decide my fate, not an individual”. Amat jelas waktu itu kelihatan tiada membawa apa-apa reaksi dari para perwakilan yang hadir terhadap Tun M, bekas pemimpin mereka yang telah menerajui parti dan negara selama 22 tahun! Tiada langsung rasa simpati para perwakilan terhadap Tun M apabila DS Najib dengan tegasnya akan terus menerajui kepimpinan parti dan negara serta tidak akan tunduk terhadap sebarang ugutan mahupun tekanan dari bekas Perdana Menteri itu. Jelasnya harapan Tun M agar akan ada perwakilan sewaktu perbahasan ucapan dasar Presiden yang menunjukkan bersimpati mahupun menyokong Tun M, meleset sekali. Perwakilan mahu terus UMNO diperkukuhkan dan mereka-mereka yang tidak bersetuju dengan kepimpinan UMNO di bawah DS Najib bolehlah keluar secara terhormat.

Mungkin generasi muda yang lahir sebelum tahun 1990 tidak memahami isu sebenar politik yang ingin dibawakan oleh Tun M. Peristiwa pertembungan halatuju serta ideologi asal UMNO telah mula dirosakkan oleh Tun M atas nama pembangunan. Isu kronisma dan nepotisma telah membuatkan Tun M amat marah bila beberapa kepimpinan tertinggi UMNO mula menghidu niat sebenar Tun serta hahatuju yang hendak dibawa oleh Tun. Bermula dengan perselisihannya dengan Tun Musa selaku timbalannya waktu itu dan akhirnya berlaku perpecahan UMNO kepada dua kem, iaitu ‘team’ A dan B hampir-hampir memusnahkan karier politik Tun sebagai Presiden UMNO serta Perdana Menteri Malaysia.

Tun jangan lupa bahawa sokongan yang diperolehi olehnya sewaktu pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO pada tahun 1988 dengan Tengku Razaleigh Hamzah adalah dianggap nipis dalam sejarah pertandingan jawatan Presiden UMNO selepas Tun Hussein dicabar oleh Sulaiman Palestin. Beberapa tokoh UMNO telah disingkirkan dari kabinet atas dasar dendam Tun kepada mereka-mereka yang tidak menyokongnya. Dengan TS Shahrir Abd Samad jaguh UMNO Johor keluar parti dan berlakulah Pilihanraya Kecil Johor Bahru dan TS Shahrir menang dengan penuh bergaya.

Mesej yang cukup jelas kepada Tun selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri ketika itu bahawa orang Johor dan orang melayu sudah mula menolak dan sangsi terhadap kepimpinan Tun. Jangan Tun lupa, Tun sendiri tidak berani turun ke Johor membantu calon UMNO/BN ketika itu, Allahyaham Cikgu Mas’od Abdul Rahman. Selepas UMNO/ BN tewas, Tun tidak turun lama ke negeri Johor.

Peristiwa hitam kepimpinan UMNO terus bergolak sepuluh tahun kemudian apabila Tun memecat timbalannya iaitu DS Anwar atas dasar moral. Pemimpin-pemimpin yang rapat dengan DS Anwar (termasuk DS Zahid Hamidi) ditangkap atas alasan mengganggu gugat keselamatan dan keharmonian negara.

UMNO serta Malaysia di bawah pemerintahan Tun M waktu itu telah diletakkan dibawah pemerintahan kuku besi. Tun cuba menyakinkan rakyat bahawa yang mengamalkan kronisma dan nepotisma ialah DS Anwar selaku Menteri Kewangan! Beberapa tokoh politik khasnya dari UMNO Johor telah diminta menyakinkan bahawa projek-projek mega yang diberikan kepada anak-anaknya adalah di atas dasar merit dan bukan kronisma. Kesemua anak-anaknya mempunyai kebolehan, berkemampuan serta amat bijak berniaga.

Kepimpinan UMNO Johor ketika itu digunakan untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia khasnya bangsa Johor bahawa jika UMNO lemah, kerajaan Singapura akan menyerang Malaysia dan kekuatan tentera Singapura mampu menguasai tanah Malaysia sehingga ke Segamat! Jelasnya, Tun sememangnya takut dengan kekuatan UMNO Johor kerana kekuatan UMNO Johor boleh menggangu gugat kepimpinan Tun sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Bangsa Johor juga sememangnya dikenali sebagai sejak dari dahulu sebagai bangsa yang cukup taat dan setia kepada pemimpin mereka lebih-lebih kepada lagi Sultannya. Bila mana TS Shahrir Samad diterima masuk oleh UMNO di bawah Tun Abdullah, kerusi Parlimen serta kepimpinan UMNO Johor Bahru yang pimpin oleh Dato Mohamed Khaled Nordin ketika itu telah diserahkan kembali kepada TS Shahrir. Begitu murninya nilai wala’, serta sayangnya UMNO Johor terhadap UMNO dan kepimpinan nya. Sayugia jangan Tun lupa bagaimana Tun menggunakan Sultan Johor bagi menjamin agar calon-calon UMNO dan BN terus memenangi pilihanraya.

Tun jangan lupa bahawa dengan penglibatan Almarhum Sultan Iskandar lah UMNO dan BN pernah menang besar dalam setiap pilihanraya! Jangan Tun lupa bagaimana Tun mempergunakan Allahyarham TS Mohamed Rahmat untuk melembutkan hati Sultan Johor ketika itu?

Apa sudah Tun lupa semua ini? Tanpa TS Mohamed Rahmat, kekuatan pengaruh politik TS Shahrir serta Tun Musa tak mungkin dapat Tun patahkan. Ingat Tun. Sejarah tidak pernah menipu.

Jelasnya, sebenarnya bukan memikirkan masalah serta kebajikan rakyat. Pada Tun menjaga kepentingan peribadi khasnya kaum keluarga dan kroni-kroni itulah keutamaan Tun. Kita tidak nafikan akan jasa Tun dalam membangunkan Malaysia serta meletakkan Malaysia di mata dunia. Tidak sesekali kita nafikan.

Namun Tun juga harus jangan lupa dan nafikan bahawa UMNO juga telah banyak membantu Tun, anak-anak, kaum keluarga serta kroni-kroni Tun hidup terlalu mewah! Siapa Tun tanpa UMNO? Ingat Tun, jangan juga Tun lupa bahawa tanpa UMNO Tun pun tidak dikenali oleh sesiapa! Siapa Tun tanpa UMNO? Tanpa sokongan akar umbi UMNO serta saf kepimpinan UMNO yang Tun caci dan cerca sekarang ini mana mungkin Tun mampu memerintah selama 22 tahun! Jangan lupa Tun. Jangan lupa. Dosa-dosa Tun sungguh banyak dan mula berkumpul. Kerakusan Tun memilik harta negara untuk kaum keluarga serta kroni umumnya sudah diketahui. Berbillion duit negara telah hilang selama Tun memerintah Malaysia. Kepimpinan UMNO dan negara sekarang ini terpaksa menanggung segala hutang serta beban yang Tun tinggalkan. Petronas, Proton, Perwaja, MAS, Bakun, STAR, Lebuhraya dan Forex antara nya bernilai ratusan billion. Billion Tun, billion! Bukan juta lagi, tetapi billion. Fakta ini cukup dan amat jelas. Janganlah Tun berkokok bak umpama ayam, tetapi ekor penuh dengan tahi. Ungkapan yang pernah Tun gunakan suatu ketika dahulu. Lupa kah Tun?

Kepimpinan UMNO Johor bukan pemakan dedak seperti yang Tun canangkan. Kami mempunyai cara kami menilai kepimpinan kami. UMNO Johor tidak akan melatah hanyasanya dengan cakap-cakap kosong tanpa bukti. UMNO Johor matang. UMNO, jika Tun tak ingat dilahirkan di istana Johor! Kepimpinan UMNO yang pertama adalah orang Johor. Kekuatan UMNO sebenarnya adalah dari Johor. UMNO Johor telah melalui pelbagai dugaan serta tribulasi dengan keluar nya bekas-bekas pemimpin UMNO dari parti UMNO khas nya dari Johor (Tun Musa Hitam, TS Shahrir Samad, TS Mahyuddin Yassin) termasuk bekas pengasas UMNO sendiri, Allahyarham Dato Onn Jaafar. Sejarah juga membuktikan bahawa UMNO Johor tetap utuh dan ahli-ahli nya bersatu padu serta wala’ kepada kepimpinannya. Bagi UMNO Johor, parti lebih utama dari individu. Cubaan Tun untuk melaga-lagakan ahli UMNO serta menggoncangkan kedudukan serta keutuhan kepimpinan UMNO Johor sekarang ini bak umpama mencurah air di daun keladi.

Kami UMNO Johor akan tetap membantu serta memelihara keutuhan institusi badan perhubungan dan kepimpinan UMNO Johor. Kami percaya akan visi dan misi kepimpinan UMNO Johor, yang pada kami walaupun dalam usianya yang masih muda, namun telah membuktikan akan sokongan padu rakyat Johor terhadap kepimpinan YAB Dato Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Besar nya dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor. Kami bukan seperti keturunan Tun serta anak didik Tun. Walaupun ada beberapa pemimpinnya keluar dari parti namun mereka, selain TS Mahyuddin, tidak sesekali mencaci dan mencela parti yang pernah mereka pimpin dan memberikan kedudukan kepada mereka. Tindakan terkini Tun melemparkan tuduhan terhadap isu kerajaan Malaysia khasnya negeri Johor memberikan kerakyatan kepada lebih 1.5 juta warga asing berbangsa cina sebagai pengundi.

Jelasnya tuduhan tersebut hanyalah helah serta hasutan kepada rakyat Johor khas nya di Johor Bahru agar rakyat Johor bangkit melawan kepimpinan UMNO Johor yang kononnya dilihat sebagai boneka kerajaan pusat pimpinan DS Najib. Suatu ketika dahulu Tun M juga melaung-laungkan bahawa projek Iskandar yang dipelopori oleh Tun Abdullah akan meninggirkan rakyat Johor. Namun kini, Tun M menuduh bahawa hartanah di Iskandar Malaysia akan dimiliki oleh orang asing. Tun M jangan lupa bahawa di zaman pentadbiran Tun M lah banyak hartanah di negeri Johor telah terjual kepada orang asing kerana dasar Tun M yang mengizinkan pembelian hartanah di Johor dimiliki oleh warga asing! Jangan Tun M buat buat lupa kerana rakyat Johor, khasnya di Johor Bahru dan Gelang Patah tahu kisah sebenar isu ini. Tuduhan Tun yang dangkal serta tidak masuk akal ini sebenarnya adalah helah politik semata-mata bagi meraih simpati serta sokongan untuk parti barunya jua.

Politik desperado, politik menghalalkan cara adalah mainan Tun sejak dahulu lagi. Sikap dendamnya terhadap mereka-mereka yang tidak mengikuti kehendak serta kemahuan serakahnya tidak akan terpadam dek zaman. Penentangan Tun M terhadap hampir ke semua kepimpinan UMNO sejak dahulu lagi sememangnya diketahui umum. Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein, Tun Abdullah dan kini DS Najib mereka semua adalah mangsa kerakusan Tun M dalam mengejar cita-cita peribadinya. Kepada Tun M, ingin kami maklumkan di sini bahawa UMNO Johor memberikan wala’ dan akan berdiri teguh di belakang kepimpinan UMNO Johor serta UMNO Malaysia. Kami yakin bahawa kepimpinan yang ada kini adalah kepimpinan yang memahami hati dan naluri rakyat sebenar. Walaupun terdapat kelemahan, namun kami akan tetap menyokong, menjaga dan memerlihara bahtera kami menuju ke destinasi Malaysia kearah TN50. Kami tidak gentar dengan ugutan, cacian, kejian serta tohmahan dan kami akan tetap mempertahankan institusi Presiden UMNO Malaysia dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.

Top