PENANTIAN 40 TAHUN PENDUDUK KG MELAYU PANDAN BAKAL BERAKHIR

20160906_210648

PASIR GUDANG, 7 Sept – Penantian lebih 40 tahun penduduk Kampung Pandan, dekat sini, untuk mendapatkan hak milik tanah masing-masing bakal berakhir apabila Kerajaan Negeri bersetuju untuk mengurniakan hak milik tersebut pada tahun ini.

Berita gembira itu diumumkan Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, pada sesi pertemuan bersama penduduk kampung itu, malam tadi.

Mohamed Khaled berkata usaha yang dilakukan penduduk kampung itu bagi mendapatkan hak milik tanah telah melalui sejarah dan kronologi yang panjang, sehinggalah sebelum Pilihanraya Umum Ke-13, surat aku janji telah diserahkan bagi menyelesaikan isu berkenaan dengan menawarkan penempatan semula.

“Kita telah aturkan lawatan bersama bekas Menteri Besar dan hasil daripada lawatan itu Kerajaan Negeri telah mengeluarkan surat aku janji kepada sebahagian besar penduduk, yang mana mereka akan diberikan rumah teres dua tingkat.

“Selepas surat itu dikeluarkan, saya telah mengambil alih tanggungjawab untuk laksanakan semua perkara yang telah diputuskan,” katanya.

Jelas beliau, perancangan itu tidak dapat diteruskan, bagaimanapun Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyerahkan hak milik tanah itu kepada penduduk selepas semua proses berkaitan selesai.

Sebanyak 195 permohonan layak untuk mendapat hak milik tanah itu, manakala 60 permohonan lagi ditolak.

Kerajaan Negeri bersetuju mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi membolehkan permohonan yang ditolak untuk membuat rayuan semula.

Top