Berita yang baru mengemparkan seluruh masyarakat dunia amnya dan umat Islam khususnya ialah tindakan sekumpulan anggota Tentera Laut Israel menyerbu sekurang-kurangnya sebuah kapal yang dinaiki oleh aktivis pro-Palestin awal pagi ini.
Malah, insiden tersebut juga telah disiarkan dalam Televisyen Al-Aqsa Gaza yang menunjukkan imej beberapa anggota komando Israel yang berpakaian lengkap uniform hitam turun daripada helikopter dan bertempur dengan para aktivis pro-Palestin yang menyebabkan beberapa aktivis tersebut cedera parah.
Saya difahamkan, dalam kejadian awal pagi tadi seramai dua orang terbunuh manakala 30 lagi mengalami kecederaan. Seramai 600 orang penumpang dipercayai diserang ketika perjalanan mereka ke Gaza.
Antara wakil Malaysia yang turut menyertai misi tersebut ialah Saudara Shamsul Akmar Yunos, Matthias Chang, YB Mohd Nizar Zakaria yang juga Ahli Parlimen Parit serta 2 orang petugas media dari stesyen TV3.
Seperti yang ramai sedia maklum, musuh kita yang utama ialah rejim zionis yang maha kejam dan tidak mempunyai perikemanusiaan langsung terutama kepada masyarakat di Palestin.
Oleh itu, saya secara peribadi mengutuk keras serangan yang dilakukan oleh pihak Tentera Laut Israel ini terhadap aktivis pro-Palestin semasa mereka melakukan konvoi kapal dalam perjalanan ke Gaza untuk membawa bekalan bantuan kepada rakyat Palestin tersebut.
Saya juga memanjatkan doa agar aktivis pro-Palestin lain yang turut menyertai konvoi tersebut terselamat dan semakin bersemangat dalam usaha membantu sahabat-sahabat kita di Palestin. Saya juga berharap agar saudara-saudara kita yang mewakili Malaysia iaitu YB Mohd Nizar Zakaria, Shamsul Akmar Yunos, Matthias Chang dan 2 orang petugas TV3 akan selamat pergi dan pulang ke tanah air.
Mohamed Khaled Nordin
