PEMIMPIN DATANG DAN PERGI – NORMALA ABDUL SAMAD

FB_IMG_1456980889882

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad menegaskan ‘pemergian’ Tun Dr Mahathir Mohamad tidak harus diratapi oleh ahli-ahli parti, sebaliknya perlu dijadikan pencetus untuk mengukuhkan perjuangan.

Beliau tidak menolak kebarangkalian Umno berdepan dengan tindakan ramai lagi ahli-ahli parti untuk menuruti jejak bekas perdana menteri itu.

“Sebagai bekas negarawan, pada saya jika itulah cara terbaik pada beliau, keputusan sudah dibuat. Kita terima. Umno akan teruskan perjuangan, ia bukan parti individu. Pemimpin boleh datang dan pergi, parti kita kena pertahankan.

“Kita tidak nafikan sedikit sebanyak kumpulan yang setia kepada beliau (Tun M) akan beri kesan, tetapi sejauh mana kesannya ia sesuatu yang sukar untuk dijangka,” katanya kepada Antarapos.

Normala mengulas tindakan Mahathir, yang mengumumkan keluar daripada Umno sebagai tanda protes terhadap kepimpinan presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Mahathir ketika mengumumkan dirinya keluar Umno beralasan Umno bukan lagi sebuah parti, sebaliknya kini ‘diubah’ untuk menjadi parti yang mempertahankan Najib sebagai presidennya.

Ini bukan kali pertama Mahathir mengumumkan keluar parti, kerana pernah berbuat demikian pada 2008 juga sebagai tanda protes terhadap pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Umno juga pada minggu lalu mengambil tindakan menggantung jawatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden Umno apabila gagal menjalankan tugas membantu Presiden dan parti.

Normala ketika merujuk hal itu berkata ketegangan yang berlaku di dalam Umno kebelakangan ini akan ditangani sebaiknya.

“Semua orang bercerita soal parti. Kita sayangkan parti. Walau apa pun kelemahan Umno, kita akan perbaiki dengan cara kita melalui perlembagaan dan mesyuarat parti. Sebagai pemimpin tidak boleh berputus asa, ada banyak cara untuk menyelesaikan masalah,” tambahnya.

Top