Pemuda kena minta pandangan belia: PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Pergerakan Pemuda Umno turun padang menganjurkan perjumpaan dengan golongan muda negara ini bagi mendapatkan pandangan dan harapan mereka yang boleh disampaikan kepada kerajaan.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata arahan itu disampaikan Perdana Menteri pada kunjungan hormat kali pertama selama kira-kira dua jam dengan Exco pergerakan itu dan Ketua Pemuda Umno Negeri, di pejabat Najib di sini semalam.

Beliau berkata, Perdana Menteri menyatakan zaman kerajaan tahu segala-galanya sudah berlalu sekali gus mahu Pemuda Umno mencungkil pandangan daripada golongan muda tanpa mengira fahaman politik mengenai harapan dan permintaan mereka kepada kerajaan.

“Dari segi politik, Datuk Seri Najib puas hati dengan hala tuju Pemuda dan beliau tekankan bahawa perpaduan penting bukan saja di kalangan Pemuda tetapi seluruh parti Umno dan Barisan Nasional (BN) terutama apabila menghadapi pakatan pembangkang yang semakin bermasalah dari segi keutuhan ikatan politik mereka,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat itu.

Beliau berkata pada kunjungan hormat itu juga, Pemuda menyatakan sokongan terhadap Gagasan 1Malaysia dan pergerakan itu akan menganjurkan siri Jelajah 1Malaysia mulai bulan depan untuk membawa konsep berkenaan kepada generasi muda di seluruh tanah air.

Mengenai spekulasi dalam internet menjelang kunjungan hormat itu yang mendakwa antara lain turut membincangkan desakan supaya Khairy melepaskan jawatan Ketua Pemuda, beliau berkata:

“Tiada kena mengena dengan mesyuarat Exco (Pemuda) Umno yang terakhir. Ini bukan mesyuarat untuk menyelesaikan krisis berkenaan kerana sebenarnya tiada krisis. Bagi pihak saya dan Exco Pemuda hari ini jelas kita bincang mengenai hala tuju untuk bantu rakyat terutama generasi muda.

“Datuk Seri (Najib) hanya meminta kami memberi fokus kepada sistem penyampaian dan memastikan kami sentiasa bersatu padu ketika melaksanakan tugas,” katanya.

- BERITA HARIAN

About the Author