1 Rantau, 1 Dunia

Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucaptamanya di Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ke-35 di sini, menegaskan, kesanggupan dan komitmen untuk menentukan keamanan sejagat merupakan antara tiga cabaran utama yang perlu didepani masyarakat antarabangsa hari ini.

Dua lagi cabaran berkenaan berkaitan usaha untuk membentuk sistem kewangan global yang baru serta menangani perubahan cuaca yang mengancam dunia ketika ini.

Di pentas persidangan yang menyaksikan penampilan pertama seorang pemimpin Malaysia dalam tempoh 50 tahun diberi penghormatan menyampaikan ucaptama, beliau berkata, gagasan 1Malaysia yang diyakini mampu mencapai matlamat ’1 impian, 1 negara,1 bangsa’ boleh diangkat kepada pelaksanaan konsep 1 Rantau, seterusnya 1 Dunia.

”Kerana itu, Malaysia sanggup memainkan peranan dalam mengadakan dialog antara budaya. Struktur geografi dan legasi peninggalan sejarah telah meletakkan Malaysia dalam kedudukan strategik untuk menjadi jambatan di antara budaya-budaya besar dunia,” katanya dalam ucapan selama 17 minit itu.

Dalam hubungan ini, Perdana Menteri menegaskan, keamanan hakiki hanya boleh dicapai melalui dialog dan bukannya dengan paksaan melalui kuasa hegemoni.

Beliau turut menarik perhatian mengenai ungkapan Profesor Hans Kung, seorang ahli falsafah teologi Jerman bahawa ‘tidak akan ada keamanan di dunia ini jika tiada keharmonian di kalangan agama dan budaya dan juga tiada keharmonian antara agama, jika tiada dialog di kalangannya’.

”Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh pentadbiran kami sejak April lalu sememangnya berasaskan kepada kepercayaan dan sifat hormat-menghormati antara kaum.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau di luar Asia sejak mengambil alih pentadbiran negara April lalu.

About the Author